fbpx

Tiga bulan tidak ke hutan, takut dibaham harimau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Di kawasan inilah bangkai seekor anjing ditemui dipercayai akibat diserang harimau berhampiran kawasan rumah penduduk di Kampung Tendrik, Pos Bihai, Gua Musang baru-baru ini.

GUA MUSANG – Lebih 1,000 penduduk Orang Asli di Pos Bihai di sini, terpaksa hidup dalam ­ketakutan ekoran ancaman harimau belang yang dikesan berkeliaran di beberapa kawasan di perkampungan itu sejak tiga bulan lalu.

Situasi itu menyebabkan rata-rata penduduk takut untuk keluar bekerja sehingga terpaksa berkurung di rumah sepanjang tempoh berkenaan.

Menurut penduduk, haiwan buas itu dikesan berkeliaran di kawasan Kampung Tendrik, Kampung Sau, Kampung Hak, Kampung Badak dan Kampung Bihai Lama.

Seorang penduduk, Apek Asud, 39, berkata, kemunculan harimau belang itu disedari penduduk apabila terdapat kesan tapak kaki haiwan liar itu di kawasan rumah mereka.

Katanya, anjing peliharaan beberapa penduduk juga dijumpai mati dipercayai akibat diserang harimau.

“Boleh dikatakan hampir setiap malam haiwan liar itu akan berkeliaran di kawasan kampung kami. Keesokan paginya, kami lihat akan ada kesan tapak kaki di kawasan rumah sebelum penduduk menemui bangkai seekor anjing.

“Kami hidup dalam ketakutan, lebih-lebih lagi apabila terdengar bunyi salakan anjing. Bunyi salakan itu menandakan kehadiran harimau,” katanya.

Kesan tapak kaki harimau yang dikesan di sekitar rumah penduduk Kampung Tendrik, Pos Bihai di Gua Musang.

Apek memberitahu, penduduk kini banyak berkurung di rumah kerana tidak berani untuk keluar bekerja.

Penghulu Pos Bihai, Alang Segan pula berkata, penduduk sudah membuat aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan pihak terbabit sudah datang untuk memantau kawasan kampung berkenaan.

“Hidup kami susah kerana tidak berani keluar untuk bekerja seperti biasa. Saya harap pihak berwajib dapat menyalurkan bantuan kepada kami.

“Sudah tiga bulan kami tidak keluar bekerja sedangkan ada anak-anak di rumah yang perlu diberi makan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim, berkata, dia turut menerima aduan daripada penduduk Orang Asli mengenai kemunculan haiwan liar itu di penempatan mereka.

“Saya berharap tindakan segera dapat diambil oleh pihak Perhilitan bagi memastikan penduduk dapat menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI