fbpx

Pekerja kedai makan dibelasah kerana lambat terima pesanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar seorang pekerja kedai makan dipukul oleh salah seorang suspek.

SENTUL – Dua lelaki ditahan selepas memukul dua pekerja kedai makan kerana lambat menerima pesanan di sebuah kedai makan di Jalan Perhentian Haji Salleh, di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima aduan daripada wanita tempatan berusia 44 tahun kira-kira pukul 8.03 pagi.

Pengadu yang merupakan pemilik kedai mengadu pekerjanya telah dipukul dan peralatan kedai makan dirosakkan.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku semasa pekerja pengadu sedang membuat persiapan untuk memulakan perniagaan telah didatangi seorang lelaki dikenali yang membuat pesanan minuman pada pukul 6 pagi.

“Memandangkan gerai baru dibuka, pekerja pengadu menjelaskan pesanan tidak dapat dibuat dengan segera menyebabkan suspek bertindak memaki hamun pekerja tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, suspek beredar setelah pesanannya diterima namun datang semula setengah jam kemudian sebelum memaki hamun pengadu dengan perkataan kesat dan memukul kepala mangsa menggunakan sebatang penyapu.

“Sekitar pukul 8.30 pagi setelah pengadu selesai membuat laporan polis, suspek sekali lagi datang bersama seorang rakannya yang tidak dikenali telah memaki hamun pengadu dan pekerjanya serta bertindak merosakkan peralatan di gerai tersebut.

“Kedua-dua suspek ditahan di kedai bersebelahan oleh sepasukan anggota polis dari Cawangan Kereta peronda (MPV) yang ditugaskan ke tempat kejadian,”jelasnya.

Menurut Sukarno, pihaknya merampas sebatang cota dan sebuah topi keledar berwarna biru yang digunakan semasa kejadian.

Ekoran kejadian tersebut, dua orang pekerja pengadu telah mengalami kecederaan ringan di kepala dan belakang badan serta disahkan oleh Pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur.

Pengadu mengalami kerugian bernilai anggaran RM12,000 akibat kejadian terbabit.

“Seorang dari suspek yang ditangkap mempunyai sembilan rekod jenayah lampau pelbagai kesalahan manakala seorang lagi suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman hari ini bagi membantu siasatan,”jelasnya.

Tambahnya, kes telah disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI