SHAH ALAM – Tindakan seorang lelaki mencuri telefon bimbit selepas berpura-pura mahu membelinya di hadapan Pangsapuri Hicom di sini, memakan diri apabila dicekup polis kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 11.20 pagi itu berlaku selepas suspek berusia 21 tahun berjumpa dengan mangsa wanita yang juga seorang peguam hartanah.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kes kecurian telefon bimbit iPhone 17 itu, kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Menurutnya, pengadu bertemu suspek yang berminat membeli telefon itu dan berbincang bagi urusan jual beli.
“Suspek kemudian bertindak merampas telefon itu dan menolak pengadu sehingga jatuh lalu melarikan diri dengan menunggang motosikal Yamaha 135LC.
“Bertindak atas maklumat, lelaki itu berjaya ditahan polis kira-kira pukul 8.45 malam hari sama bagi membantu siasatan,” katanya hari ini.
Tambah Sarudin, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd. Farhan Khasmuri di talian 019-3369077. – KOSMO! ONLINE














