fbpx

Mahkamah: Ahmad Zahid tepati janji, bayar kontraktor projek pembangunan Bagan Datuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid ketika hadir di Mahkamah Tinggi hari ini. Foto oleh M. FIRDAUS M/ JOHARI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seorang penyelia projek menyifatkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai individu yang sentiasa menepati janji dan menjelaskan setiap pembayaran kepada syarikat kontraktor yang menyiapkan projek-projek pembangunan di Bagan Datuk, Perak.

Marlin Ahmad, 50, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, sikap Timbalan Perdana Menteri itu didedahkan oleh arwah abangnya, Sanusi Ahmad selaku pengasas syarikat kontraktor, Sutida Enterprise yang mengendalikan projek-projek berkenaan.

Menurut saksi pembelaan ke-13, hampir kesemua projek yang dijalankan oleh syarikat itu adalah atas arahan Ahmad Zahid dan arwah abangnya akan melaksanakannya tanpa meminta apa-apa bayaran pendahuluan.

“Dalam pengetahuan saya, setiap hasil kerja arwah abang saya yang diarahkan oleh Datuk Seri Zahid semuanya telah selesai dibayar dan arwah juga pernah memberitahu kadang-kadang Datuk Seri Zahid membayar lebih,” ujarnya ketika membacakan pernyataan saksi.

Beliau memberi keterangan pada perbicaraan Ahmad Zahid, 70, atas 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang mana Timbalan Perdana Menteri adalah pengasasnya.

Dalam keterangannya, Marlin turut menyenaraikan beberapa projek yang dilaksanakan oleh Sutida Enterprise sejak tahun 1999 dan projek terbaharu adalah pembinaan Sekolah Menengah Imtiaz Tuminah Hamidi di Bagan Datuk.

Antara projek lain termasuk Rumah Anak Yatim Hamidiyah dengan kos RM1.14 juta, Masjid Sri Perkasa bernilai RM600,000 serta Dewan Hajah Tuminah dan Masjid Al Quro’ Bagan Datuk yang masing-masing menelan belanja RM450,000.

Saksi selanjutnya berkata, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak gemar sumbangannya diketahui pihak lain sehinggakan setiap pembinaan yang dilaksanakan oleh Sutida Enterprise tidak pernah dibuat notis atau papan tanda bahawa ia sumbangan beliau.

Sementara itu, bekas Pengerusi Masjid Seri Perkasa turut memberi keterangan bahawa Timbalan Perdana Menteri sentiasa bersikap prihatin kepada penduduk di Bagan Datuk khususnya anak yatim dan individu susah.

Saksi pembelaan ke-14, Atan Sampol, 67, berkata, wakil rakyatnya itu seorang yang amat pemurah serta dermawan dengan hampir kesemua masjid serta surau di daerah itu adalah daripada sumbangan peribadinya.

“Kos pembinaan hampir RM600,000 adalah 100 peratus sumbangannya daripada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Masjid ini yang siap sepenuhnya pada 2006 dirasmikan oleh Raja Dr. Nazrin Shah (ketika itu) pada 2008,” katanya.

Atan yang merupakan ahli jawatankuasa masjid tersebut hampir 20 tahun berkata, antara sumbangan Ahmad Zahid kepada penduduk Bagan Datuk termasuk memberi hampir 200 bungkus makanan asas bagi Masjid Seri Perkasa pada bulan Ramadan dan memberi sumbangan RM100 bagi setiap 1,500 peserta tadarus Al-Quran.

Sementara itu, Pengerusi Surau An Nur Parit 25 Darat di Bagan Datuk, Mokhtar Tukol, 66, memberitahu mahkamah bahawa sepanjang mengenali Ahmad Zahid lebih 35 tahun semasa wakil rakyat itu baharu menceburi bidang politik di Bagan Datuk, beliau (Ahmad Zahid) seorang yang sangat pemurah untuk menyumbang bagi tujuan kebaikan.

“Ini kerana, beliau (Ahmad Zahid) pernah menyatakan kepada saya secara peribadi bahawa apabila beliau berkemampuan dan mempunyai peluang, sudah tentu beliau akan menyumbang sebagai saham di akhirat,” kata saksi pembelaan ke-15 itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan) bersambung 4 September ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI