fbpx
Tangkap layar rakaman kamera papan pemuka dari kenderaan Chong.

Nahas Elmina: Saya fikir perlu tekan pedal minyak sahaja waktu itu – Pemilik dashcam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Kejadian berlaku begitu pantas, bunyi dentuman dua kali diikuti api yang sangat besar.”

Itu suasana yang digambarkan pemilik rakaman kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan yang melalui kawasan di mana sebuah pesawat ringan terhempas di Elmina semalam.

Ahli perniagaan dikenali sebagai Chong, 56, berkata, ketika kejadian itu berlaku, dia sedang menuju ke satu lokasi untuk bertemu dengan pelanggannya.

Bagaimanapun, dia telah mengikut lokasi yang salah menggunakan aplikasi ‘Maps’ menyebabkan dia dibawa menuju ke Elmina.

“Saya mahu pergi berjumpa pelanggan dan telah mengikut lokasi yang diberikan, bagaimanapun lokasi itu salah dan menyebabkan saya menghala ke Elmina.

“Semasa melalui jalan itu, tiba-tiba terdengar bunyi meletup yang sangat kuat dan api yang besar dari sebelah kanan kenderaan saya,” katanya, ketika dihubungi Kosmo!

Chong berkata, apa yang terlintas di fikirannya ialah untuk menekan pedal minyak bagi melepaskan kenderaannya daripada disambar api tersebut.

“Saya fikir kalau tidak tekan pedal minyak dengan kuat, saya akan mati hari ini (semalam). Sebaik melepasi api itu, saya berhenti di bahu jalan untuk maklumkan kejadian pada isteri.

“Bagaimanapun, saya tidak pergi berhampiran lokasi pesawat itu terjatuh kerana saya perlu berjumpa dengan pelanggan yang sudah menunggu,” ujarnya.

Selain itu, Chong berkata, dia mengetahui kemalangan itu melibatkan pesawat ringan dan kenderaan orang awam sehingga 10 nyawa terkorban melalui laporan-laporan berita.

“Saya bersimpati apabila dapat tahu 10 mangsa maut, bila melihat semula rakaman ‘dashcam’ di pejabat, saya berfikir apa agaknya nasib mereka.

“Saya rasa bernasib baik kerana selamat. Saya amat kasihan dengan penunggang motosikal dan pemandu sebuah lagi kenderaan yang turut maut,” katanya.

Chong berkata, beberapa bahagian kenderaanya rosak akibat terkena api dan akan membuat laporan polis hari ini, bagi tujuan tuntutan insurans.

Terdahulu, Kosmo! semalam melaporkan, seramai 10 mangsa maut dalam nahas kira-kira pukul 2.48 petang di Persiaran Elmina, Shah Alam.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN