fbpx

Suspek kes tembak betis rakan dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi kejadian seorang lelaki cedera ditembak pada bahagian betis kirinya di Kampung Telosan, Pasir Puteh semalam. Foto oleh ROHANA MOHD. NAWI/KOSMO!

PASIR PUTEH – Suspek yang dipercayai melepaskan beberapa das tembakan sehingga menyebabkan betis kiri seorang lelaki cedera di Kampung Telosan di sini, dicekup semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, lelaki berusia 45 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan manakala beberapa rakannya yang masih bebas sedang diburu.

“Suspek diberkas selepas polis menerima laporan daripada mangsa yang berusia 27 tahun kira-kira pukul 5.54 pagi semalam.

“Hasil semakan mendapati, suspek mempunyai dua rekod lampau berkait kesalahan narkotik. Polis sedang giat menjalankan siasatan untuk mengesan beberapa suspek yang masih bebas,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Mengulas lanjut, Zaizul Rizal memberitahu, siasatan awal mendapati, mangsa bersama beberapa rakannya pergi ke sebuah rumah yang merupakan lokasi kejadian itu untuk membaiki kereta.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berhenti di depan rumah tersebut sebelum salah seorang suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa dan rakan-rakannya.

“Tembakan itu terkena pada bahagian betis kiri mangsa sebelum MPV tersebut terus meninggalkan lokasi kejadian. Mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Anis di sini sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk rawatan lanjut,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1972.

Kosmo! Online semalam melaporkan seorang lelaki cedera pada bahagian betis kirinya selepas dipercayai ditembak rakannya dengan sepucuk pistol ketika sedang membaiki kenderaan di depan sebuah rumah di Kampung Telosan di sini.

Jiran mangsa yang dikenali Kak Yah, 66, berkata, dia terdengar seperti bunyi letupan sebanyak tiga kali ketika sedang tidur. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI