fbpx

Yayasan Bank Rakyat bantu nenek lumpuh dijaga cucu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syaiful Rizal (kanan) menyampaikan sumbangan wang tunai dan kerusi roda kepada Moreena yang lumpuh separuh badan di rumahnya Kampung Batu 8, Kota Bharu hari ini. -Foto ROSALWANI CHE SOH

KOTA BHARU – Kesempitan hidup seorang nenek lumpuh akibat angin ahmar yang dijaga oleh cucunya berusia 11 tahun mendapat perhatian Yayasan Bank Rakyat (YBR) apabila hadir menghulurkan sumbangan wang tunai RM 3,000 dan sebuah kerusi roda.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai kesusahan hidup Moreena Mohamed, 59, yang dijaga oleh cucunya, Mohammad Hairis Haikal Abdullah,11, sehingga kanak-kanak itu tidak dapat pergi ke sekolah.

Moreena memberitahu, dia terharu atas sumbangan YBR apabila sudi menjenguk keadaannya yang sudah uzur dan terlantar.

“Selepas tidak bekerja, saya dijaga sepenuhnya oleh Mohammad Hairis Haikal kerana sudah separuh badan sudah lumpuh dan hanya mampu terlantar.

“Alhamdulillah, kami berdua akan menggunakan sumbangan wang tunai yang disampaikan YBR untuk membeli barangan dapur dan makanan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Batu 8, Jalan Kuala Krai, di sini hari ini.

Moreena memberitahu, dia amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak YBR atas sumbangan kerusi roda untuk memudahkan pergerakannya.

Sementara itu, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, beliau terpanggil untuk melihat sendiri keadaan Moreena yang lumpuh sehingga perlu bergantung harap kepada cucunya.

Menurutnya, bantuan wang tunai RM3,000 itu diharap dapat mengurangkan beban terutamanya untuk membeli keperluan harian dan ubat-ubatan memandangkan wanita tersebut sudah tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan.

“Selain itu, bantuan sebuah kerusi roda itu juga untuk memudahkan pergerakan Moreena. Cucu yang menjaganya juga tidak dapat pergi ke sekolah selepas wanita itu memerlukan perhatian penuh selepas tidak boleh bergerak.

“Selain YBR, saya berharap lebih banyak lagi organisasi atau individu yang membantu meringankan beban Moreena dan cucunya,” ujarnya.

Selepas kisah Moreena dan cucunya tular, dua sekeluarga itu mendapat perhatian beberapa pihak termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tampil menyalurkan sumbangan kepada mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI