fbpx

Peragut larikan wang tunai RM70,000 dalam bakul motosikal warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Seorang lelaki warga emas hanya mampu berputih mata selepas wang hasil jualan perniagaan kedai runcitnya berjumlah kira-kira RM70,000 dibawa lari peragut semasa menunggang motosikal di Jalan Kebun Sultan di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi itu berlaku semasa mangsa yang berusia 60 tahun membawa wang tersebut yang diletakkan di dalam bakul motosikalnya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada pukul 1.50 tengah hari.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa sedang dalam perjalanan ke sebuah bank dengan menunggang sebuah motosikal untuk mendepositkan wang hasil jualan kedai runcitnya berjumlah RM70,000.

“Semasa tiba di depan sebuah premis di Jalan Kebun Sultan, sebuah motosikal menghampiri mangsa sebelum meragut sebungkus beg plastik hitam yang mengandungi wang tunai itu dan dua buah telefon bimbit yang diletakkan di dalam bakul motosikalnya.

“Berdasarkan keterangan mangsa yang merupakan pemilik perniagaan runcit di Cabang Empat Cherang di sini, suspek disyaki merupakan seorang lelaki dengan ketinggian kira-kira 170 sentimeter dan bertutur dalam dialek Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Mohd. Rosdi memberitahu, suspek yang memakai jaket, berseluar dan bertopi keledar warna gelap dikatakan menunggang sebuah motosikal berwarna hijau atau hitam.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun tidak dapat mengecam nombor pendaftaran dan jenis motosikal yang ditunggang suspek.

“Sehubungan itu, polis sedang giat menjalankan operasi dalam usaha mengesan dan menangkap suspek,” ujarnya.

Tambah Mohd. Rosdi, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI