fbpx

Diana sudah lega, rakyat pilih yang mana?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERTAMA sekali, selamat mengundi buat pengundi di enam negeri yang terlibat Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu hari ini.

Semoga sekeping undi berpangkah kalian memberi impak kepada warna pentadbiran setempat dan negeri hendaknya kelak.

Itu semangat yang kita mahukan bukan? Ibaratnya, mana boleh pasang muzik ‘orang mati’ pada majlis kenduri kahwin, kenalah kompang, paling tidak pun marhaban. Marhaban? Itu semalam punya cerita. Bak kata pelakon Diana Danielle, kita buka buku baharu.

Sama seperti politik yang panas sepanjang tahun, dunia hiburan serupa. Untuk penulis yang fortenya bukan politik, ada baiknya saya balik ke pangkal jalan.

Dua hari lepas, seiring lagu Keranamu tular sempena nak pilihan raya, seorang wanita terkenal yang memilih untuk menjalani hidup atas pilihan sendiri walaupun mulanya dinafikan si suami, telah pun menarik nafas lega.

Wanita itu tidak lain tidak bukan, Diana Danielle. Sebelas tahun hidup bersama, bohonglah tidak bahagia dirasai. Namun, untuk tempoh lebih sedekad itu, sabar mungkin tidak lagi kata kunci biarpun sayang sebagai manusia, bekas suami dan bapa kepada anak-anak masih ada, namun perpisahan juga yang dipinta.

Ingat, orang yang pernah disanjung, kita angkat, kita tabik dan diiyakan banyak ketika, tapi tiba masanya tidak lagi boleh seiring berkongsi fahaman dan impian serupa, kita juga boleh memilih berpisah dalam rela ataupun terpaksa.

Memilih untuk bertahan atau beredar ke helaian buku kehidupan seterusnya, merangkai aksara membentuk perenggan baharu tanpa terpuruk di takuk masalah sama kesekian kalinya adalah satu pilihan.

Hak sedemikian terbuka buat semua individu, kita boleh menuruti nasihat orang yang selayaknya, namun itulah bukan mandatori yang perlu dihadap sampai tutup mata.

Memilih bertahan dengan suami atau pasangan umumnya, mungkin ada terma yang sama dalam soal memilih untuk bersama-sama dengan siapakah selayak menjadi pemimpin. Apa yang cuba dinyatakan di sini hanyalah setiap orang ada kuasa memilih dan memilih itu tidaklah satu kesalahan asalkan berpandu hak sepatutnya.

Bukan hendak terlalu feminisme, namun berbalik kepada kes Diana dan Farid, wanita berwajah lembut itu membuktikan sehebat atau‘segila’ apa pun ‘kempen’ yang ditunjukkan lelaki yang selama ini menjadi pemimpin rumah tangganya, semua itu sudah tidak lagi bermakna kerana yang dimahukan adalah mandiri.

Merujuk situasi hari ini, wanita boleh diibaratkan sebagai pengundi, manakala lelaki adalah wakil blok parti yang akan dipangkah. Wanita (pengundi) boleh digula-gulakan dengan janji-janji, tapi tanpa jasa, kebaktian dan kepercayaan, semua itu jadi mual dan sekadar tin tanpa isi.

Di hujung hari, siapa pun dipilih hari ini, sorak gempitanya hanya seketika dan esoknya semua rutin yang selama ini kembali terulang lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN