fbpx

The 1975, sila bayar ganti rugi atau kena saman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMPULAN 1975 kini berdepan kata kata dua, bayar ganti rugi atau disaman gara-gara onar yang dibikin dalam Festival Good Vibes, baru-baru ini,

PETALING JAYA – Penganjur Festival Good Vibes (GVF) 2023, Future Sound Asia (FSA) Mengeluarkan surat tuntutan kepada kumpulan rock dari United Kingdom, The 1975 agar bertanggungjawab dan membayar ganti rugi berikutan pembatalan acara berkenaan baru-baru ini.

FSA dalam satu kenyataan berkata, pihaknya juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap band tersebut di mahkamah England sekiranya mereka gagal memenuhi tuntutan berkenaan.

“Pihak kami menyelar kelakuan kumpulan itu ketika persembahan mereka di GVF2023 khususnya penyanyi, Matthew Timothy Healy yang menggunakan bahasa kasar, merosakkan peralatan dan menunjukkan perilaku tidak beradab.

“Itu bukan sahaja secara terang-terangan melanggar garis panduan tempatan dan undang-undang Malaysia, bahkan mencalar reputasi festival yang sudah 10 tahun diadakan,” katanya.

Difahamkan, surat tuntutan yang diajukan telah berada di tangan The 1975 dan FSA kini sedang menunggu jawapan mereka.

Penganjur terbabit juga menegaskan band dibarisi empat anggota itu turut dilihat sengaja berniat melanggar perjanjian yang dipersetujui secara bersama dengan pihaknya.

“Pelanggaran itu mengakibatkan pembatalan festival sehingga membawa kerugian kewangan buat FSA, memberi impak negatif terhadap artis tempatan dan menjejaskan perniagaan yang bergantung kepada kejayaan festival.

“Ramai rakyat Malaysia turut terkesan dengan pembatalan festival ini,” katanya lagi dalam kenyataan sama.

Menerusi kenyataan sama FSA turut menzahirkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan peminat dan pihak berkuasa sejak sekian lama.

“FSA akan terus memberikan komitmen tidak berbelahbahagi dalam menyemarakkan dan memberikan pengalaman muzik berbeza kepada peminat dengan mematuhi syarat serta undang-undang tempatan,” katanya.

Pada GVF 2023 yang berlangsung di Sepang pada 21 Julai lalu, Healy mencetuskan kekecohan apabila secara terbuka mempertikai undang-undang berhubung lesbian, gay, biseksual transgender dan pelik (LGBTQ) di Malaysia, sebelum berkucupan dengan pemain bes, Ross MacDonald.

Terus menunjukkan kelakuan tidak senonoh, vokalis berusia 34 tahun itu juga dengan selamba meneguk minuman keras, meludah ke arah penonton dan merosakkan ‘drone’ milik penganjur.

Susulan insiden tersebut, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengarahkan pembatalan serta-merta penganjuran festival berkenaan yang masih berbaki dua hari.

Atas situasi yang turut mengundang polemik dalam kalangan masyarakat akibat kebiadaban The 1975 itu, FSA dipanggil menteri terbabit bagi memberi penjelasan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI