SHAH ALAM – Seramai 26,557 orang melakukan pengundian awal di seluruh Selangor hari ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ini melibatkan 18,557 pegawai dan anggota serta pasangan termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi Kontinjen Selangor.
Menurutnya, selebihnya merupakan 8,000 pegawai dan anggota tentera serta pasangan masing-masing
“Jumlah pusat mengundi awal sebanyak 68 pusat dengan 93 saluran mengundi.
“Arahan telah diberikan kepada pegawai dan anggota polis sebagai rakyat negara ini adalah wajib melaksanakan mengundi,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.
Jelas beliau, pihaknya yakin peratusan keluar mengundi dalam kalangan anggota dan pegawai polis tinggi berbanding Pilihan Raya ke-15 (PRU15) adalah 97 peratus.
Dalam perkembangan berlainan, Ayob Khan menjelaskan sebanyak 70 hotspot dikenal pasti di seluruh selangor bagi PRN ini.
“Kekuatan petugas digerakkan untuk PRN bagi Kontinjen Selangor adalah seramai 13,899 orang termasuk bantuan daripada polis kontinjen luar,” katanya. – KOSMO! ONLINE














