fbpx

Manchester City jadi mangsa pertama peraturan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PALMER (tengah) meledak gol pembukaan untuk meletakkan City di hadapan sebelum Trossard menyamakan kedudukan dan membawa aksi ke penentuan penalti. - AFP

LONDON – Permulaan kurang baik buat juara trebel musim lalu, Manchester City bagi kempen 2023/24 apabila tewas kepada Arsenal pada aksi Perisai Komuniti yang berlangsung di Wembley malam kelmarin.

Pada perlawanan itu, The Citizens terpaksa akur tewas 1-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat seri 1-1, sekali gus menyaksikan mereka bermula dengan langkah kiri.

Bagaimanapun, Pengurus City, Pep Guardiola membidas peraturan baharu melibatkan masa kecederaan yang menyaksikan perlawanan tersebut berlanjutan sehingga lebih 100 minit dan membolehkan Arsenal menyamakan kedudukan.

The Citizens terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-77 menerusi jaringan menarik pemain muda, Cole Palmer sebelum Leandro Trossard menjaringkan gol penyamaan ketika perlawanan memasuki minit ke-101.

“Saya tidak boleh cakap apa-apa mengenai peraturan baharu ini kerana kami perlu menyesuaikan diri. Saya bercakap bukan disebabkan kami tewas, namun tidak sepatutnya perlawanan hari ini (kelmarin) ditambah masa lebih lapan minit.

“Persoalan ini ditujukan kepada pihak yang menetapkan peraturan ini kerana mereka langsung tidak meminta pandangan daripada kami, iaitu pengurusan dan pemain-pemain yang beraksi di atas padang.

“Sekarang kami hanya perlu terima sahaja keputusan mereka. Apa yang pasti, perlawanan selepas ini akan berlangsung lebih daripada 100 minit,” kata pengendali dari Sepanyol itu.

Justeru, Guardiola menggesa barisan pemainnya supaya melupakan kekalahan tersebut dan mengalihkan sepenuh fokus terhadap aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Burnley di Turf Moor awal pagi Sabtu nanti.

“Kalah atau menang, sekarang saya sudah tahu situasi pasukan. Kami perlu kembali dapatkan kecergasan dan bersedia untuk memulakan saingan liga menentang Burnley sebelum berangkat ke Athens.

“Sudah tentu saya mahukan kemenangan pada malam ini (kelmarin) tetapi kadang-kadang anda perlu menerima kekalahan dan memberi kredit kepada pasukan lawan yang bermain lebih baik,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI