fbpx

Jangan sesekali sokong restoran kotor, penuh sampah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KIRA-KIRA 10 tahun dahulu sewaktu penulis dan dua rakan bercuti di sebuah negeri di utara Semenanjung, seorang kenalan pernah mencadangkan kepada kami untuk singgah makan di sebuah premis dikatakan popular.

Kononnya ia lokasi wajib sekiranya mahu menikmati menu istimewa mi sotong. Kami teruja kerana menu itu mungkin sukar ditemui di Lembah Klang.

Sepanjang perjalanan, penulis tertanya-tanya bagaimana ‘rupa’ menu mi sotong itu? Sedap sa­ngat kah?

Selain membayangkan, pasti ramai pelanggan kerana didakwa ia kedai makan popular.

Ternyata sangkaan penulis tidak meleset apabila kami tiba di sana sekitar pukul 3 petang, orang ramai sudah pun beratur panjang. Akan tetapi, melihat tahap kebersihan di sekelilingnya, terus mengucap panjang.

Persekitaran dipenuhi kekotoran dengan sampah tidak di­sapu, manakala pinggan dan gelas dibiarkan bersepah.

Tambah memualkan, keadaan dapur juga tidak terurus.

Namun, keadaan yang kotor itu sedikit pun tidak membatal­kan hasrat pelanggan untuk menikmati mi sotong, bahkan semakin bertambah pe­langgan yang hadir.

Hairan juga kerana sudah terang kelihatan keadaan sekelilingnya, masih lagi berselera untuk menikmati makanan di situ.

Dalam hal ini, sebenarnya masih ada pelanggan yang tidak mengambil berat soal kebersihan dalam memilih kedai makan, bahkan tidak kisah untuk makan di premis kotor.

Bukan untuk menutup pintu rezeki penjual atau pemilik premis, namun seharusnya mereka juga perlu maklum soal kebersihan.

Sepertinya sia-sia sahaja mengikuti kursus pengendalian makanan, namun tidak diamalkan 100 peratus. Malah ada juga pekerja tidak mengambil suntikan tifoid.

Jika soal kebersihan dipandang enteng, bimbang makanan disediakan boleh menjejaskan kesihatan.

Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Malina Osman, kajian yang dijalankan sebelum ini mendapati jurang perbezaan ketara antara tahap kesedaran pengendali makanan dan pengguna.

Katanya, disebabkan sistem yang memerlukan pengendali makanan hadir kursus sebelum diberikan lesen beroperasi, kebanyakan mereka mempunyai tahap pengetahuan dan kesedaran cemerlang.

“Namun, kajian berkenaan hanya melibatkan pengendali berdaftar, sedangkan dalam dunia sebenar kita dapati ramai pekerja yang datang secara sambilan dan tidak pernah hadir dalam kursus berkenaan.

“Di pihak pengguna pula, kebanyakan mereka mempunyai tahap kesedaran rendah ke sederhana, dengan liputan markah purata 35 hingga 60 peratus.

“Sejumlah besar masih tidak mempunyai pengetahuan sebagai pengguna yang bijak dalam memilih premis berkualiti yang dapat menyediakan makanan yang bersih dan selamat,” kata­nya.

Beliau berkata, pengguna dan pengendali makanan sebenarnya saling memerlukan.

“Dalam dunia pekerjaan yang mana individu tidak sempat menyediakan makanan sendiri, sebahagian besar kita mengharap­kan perkhidmatan berkualiti yang bersih dan selamat.

“Sehubungan itu, pengendali makanan juga perlu bertanggungjawab memastikan proses penyediaan dan tempat menyediakan makanan juga terjamin kebersihan dan keselamatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN