fbpx
Tidak banyak perubahan luaran bagi model dipertingkat ini.

E300 sedan mewah sesuai golongan korporat, eksekutif muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JENAMA dan model sesebuah kenderaan secara tidak langsung mencerminkan imej dan keperibadian pemilik atau si pemakainya.

Ada jenama mewah, tetapi modelnya mungkin standard atau sporty.

Sementara itu, varian daripada model itu juga menentukan spesifikasi atau aksesori yang ditawarkan.

Varian tertinggi pada kebiasaannya ditawarkan dengan aksesori yang lebih baik atau lawa dengan spesifikasi yang lebih berteknologi.

Pada minggu lalu, penulis telah memandu uji sebuah Mercedes-Benz model E300 AMG Line selama beberapa hari. Model sedan mewah ini adalah model yang telah dipertingkat pada bulan Mac lalu.

Antara perubahan yang dilakukan pada model yang dipertingkat ini jika dibandingkan dengan sebelum ini adalah rekaan rim AMG sepuluh jejari bersaiz 19 inci serta spoiler dan cakera brek yang lebih besar.

Dari segi luaran, masih nampak sama dengan menggunakan kemasan AMG Line yang memberikan imej sporty pada sedan bersaiz agak besar itu berukuran lebar 1,852 milimeter (mm), panjang 4,935mm, tinggi 1,460mm dan jarak antara roda 2,939mm. Besarkan?

Lampu utama jenis Multibeam LED juga hadir dengan ciri-ciri lampu tinggi Ultra Range.

KENDERAAN sedan ini mempunyai saiz yang agak besar dengan lebar 1,852mm dan panjang 4,935mm.

Penulis lihat rekaan luaran ini nampak matang dan dalam masa sama mampu untuk menarik minat golongan eksekutif muda juga.

Masuk ke bahagian kabin, sudah pasti model ini hadir dengan mood premium dan mewah seperti sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) pada skrin 12.3 inci, bumbung suria di bahagian depan serta belakang, pengecas tanpa wayar dan kawalan suhu tiga zon.

Selain itu, ia dilengkapi sistem audio Burmester, balutan tempat duduk kulit, kemasan kayuan hitam serta alas kaki AMG.

Bagi memberi keselesaan tambahan kepada penumpang di bahagian belakang, model ini juga hadir dengan penghadang matahari di sisi dan belakang.

Sedan ini masih menggunakan enjin petrol 2.0 liter empat silinder dengan pengecas turbo dan transmisi sembilan kelajuan automatik.

Kombinasi itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 258PS pada 5,800 hingga 6,100rpm dan tork tertinggi 370Nm dari 1,800 hingga 4,000rpm.

Model pemasangan tempatan (CKD) ini hanya menggunakan sekitar 6.9 liter petrol untuk perjalanan 100 kilometer (km). Sedan ini mampu memecut dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya dalam masa 6.2 saat.

Kelajuan maksimum mengikut risalah mereka ialah 250km/j.

Model ini mempunyai ruang kelegaan kaki yang luas di bahagian penumpang belakang.

Apa yang menarik, model ini ditawarkan dengan Urban Guard yang merupakan sistem keselamatan dan perlindungan harta benda. Pakej perlindungan kenderaan itu menawarkan pemantauan menyeluruh.

Ia terdiri daripada sebuah sistem penggera antikecurian serta perlindungan yang mampu mengesan perubahan kedudukan kenderaan.

Pergerakan pada bahagian dalam kenderaan juga mampu dikesan dengan memberikan cetusan secara visual dan boleh didengar.

Pemandu akan diberitahu tentang kecurian atau pengesanan kerosakan tempat letak kereta melalui aplikasi Mercedes Me.

Bagi sistem bantuan pemandu, model ini hadir dengan Bantuan Parkir Aktif dengan Parktronic, Bantuan Brek Aktif dan kamera 360 darjah. Selain itu, ia juga hadir dengan Active Distance Assist Distronic, Bantuan Stereng Aktif,

Bantuan Brek Aktif, Bantuan Kekal Lorong Aktif, Bantuan Titik Buta Aktif dan Pre-Safe Plus.

Kesimpulannya, bagi sebuah kereta pada harga RM399,888 bukan orang kebanyakan mampu memiliki model ini. Dengan spesifikasi yang ditawarkan jenama kenderaan mewah dari Jerman ini penulis rasa model ini sangat sesuai untuk golongan korporat.

Dari segi keseluruhan, bagi penulis E300 AMG Line ini boleh digunakan untuk mereka yang menggunakan khidmat pemandu kerana ruang kelegaan kaki di bahagian belakang agak selesa untuk penumpang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN