fbpx

K2

Uniqlo derma 21,200 pakaian untuk pelarian di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Program pendermaan pakaian kepada UNHCR dan pelarian itu dilaksanakan di Kuala Lumpur baru-baru ini sempena Hari Pelarian Sedunia.

GOLONGAN pelarian yang hidup dalam serba kekurangan seharusnya diberi hak asasi kemanusiaan seperti memiliki penempatan dan pakaian yang boleh dipakai.

Mereka yang kehilangan segala-galanya pasti berdepan cabaran dalam meneruskan kehidupan dan perlu dibantu sewajarnya.

Bersempena sambutan Hari Pelarian Sedunia yang jatuh pada 20 Jun lalu, pelbagai pihak mengambil inisiatif untuk membantu golongan pelarian.

Tidak ketinggalan sebuah syarikat peruncit pakaian, Uniqlo yang menunjukkan komitmen mereka terhadap tanggungjawab sosial dengan menderma pakaian kepada pelarian.

Umum mengetahui bahawa industri pakaian antara industri penyumbang pencemaran dunia, jadi seharusnya usaha sebegini diberikan perhatian.

Uniqlo menerusi program RE.UNIQLO mengambil inisiatif menderma 21,200 helai pakaian kepada Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu Suruhanjaya Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) bagi memberi sokongan dan bantuan kepada pelarian di Malaysia.

Ini juga merupakan satu bentuk sumbangan bagi kesejahteraan kepada golongan itu, selain untuk melindungi dan mengembalikan maruah mereka.

Program RE.UNIQLO merupakan satu inisiatif yang bertujuan memaksimumkan penggunaan pakaian-pakaian yang dihasilkan dan mengurangkan sisa buangan.

Bersesuaian konteks, industri fast fashion atau fesyen pantas merupakan antara industri yang menyumbang kepada sisa buangan yang paling banyak di dunia.

TAN (kiri) memperkasa golongan pelarian di negara ini menerusi sumbangan pakaian-pakaian berkualiti.

Setiap hari, ribuan pakaian tidak terjual akan dibuang di tapak-tapak pelupusan sampah di seluruh dunia, yang akhirnya akan mendatangkan kesan buruk kepada persekitaran dunia.

Pakaian yang disumbangkan telah diedarkan kepada pelarian yang melawat pejabat UNHCR semasa acara tersebut diadakan selama dua hari.

Acara itu bertujuan memberi bantuan pakaian kepada pelarian di Malaysia bagi membantu meningkatkan kualiti hidup mereka.

Menurut Pengarah Kelestarian jenama itu, Evelyn Tan, syarikat berhasrat untuk memberi impak positif dan memupuk semangat kemasyarakatan dalam kalangan komuniti pelarian di Malaysia.

“Kami berbangga untuk mempergiatkan usaha dalam menyokong pelarian melalui kerjasama dengan UNHCR.

“Program ini membolehkan kami untuk memanjangkan jangka hayat pakaian terpakai dan mencipta perubahan positif dalam komuniti.

“Melalui inisiatif ini juga, kami berharap agar dapat mengurangkan beban pelarian sambil memberikan rasa normal dalam kehidupan mereka,” kata Tan.

Pegawai Komunikasi Bersekutu UNHCR, Yante Ismail berkata, golongan pelarian yang juga merupakan ibu bapa menghadapi cabaran besar dalam memenuhi keperluan asas keluarga mereka.

Justeru, hadiah berupa pakaian berkualiti akan membawa perubahan besar dalam kehidupan mereka.

“Pakaian bukan sahaja bermaksud lapisan pelindung, tetapi juga mengembalikan maruah bagi orang yang kehilangan segala-galanya.

“UNHCR amat menghargai komitmen panjang Uniqlo untuk meningkatkan kehidupan pelarian di seluruh dunia, termasuk di Malaysia,” ujarnya.

Projek bersama UNHCR ini juga menjadi bukti usaha jenama fesyen itu dalam bersama-sama perjuangan pelarian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI