fbpx
Para peserta yang mengikuti acara ‘closet swap’ di ibu kota baru-baru ini seronok apabila membayangkan pakaian ‘hidup semula’ di tangan orang lain.

Trend ‘closet swap’, bertukar-tukar pakaian terpakai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAMAI antara kita sudah tentu pernah melihat deretan pakaian dalam almari yang menunggu masa untuk dilupakan.

Itulah yang dirasakan Hanis Ali, 29, seorang wanita yang baru pertama kali menyertai satu acara ‘closet swap’ yang dianjurkan di ibu kota baru-baru ini.

Dengan beg besar berisi blaus, skirt dan dress yang jarang dipakai, dia tiba di lokasi acara dengan perasaan campur aduk, antara teruja dan sedikit segan.

Berkongsi dengan CitaRasa, anak kelahiran Selangor itu berkata, pada awalnya, dia terasa segan untuk menukar pakaian miliknya dengan pakaian orang lain.

“Saya rasa segan dan tertanya-tanya, akan adakah orang yang sudi ambil pakaian saya yang biasa-biasa saja, namun dalam masa sama, saya rasa teruja kerana mahu melihat koleksi orang lain yang sudah tentu penuh cerita tersendiri.

“Sebaik sahaja mula bertukar pakaian, saya rasa seronok apabila melihat beberapa helai pakaian saya mula diambil orang,” katanya.

Eksekutif swasta itu berkata, antara barangan yang dibawa sewaktu acara itu adalah sehelai dres rona hijau yang dipakai ketika pertama kali berjanji temu dengan suaminya beberapa tahun lalu dan juga sehelai skirt paras betis yang tidak lagi muat di badannya.

Proses pertukaran itu sendiri penuh dengan kejutan. Kongsi Hanis, dia berjaya menukar beberapa helai pakaian yang dibawa dengan sehelai blazer elegan dan sehelai skirt yang selalu dia impikan.

“Saya tak sangka pakaian lama saya boleh jadi sumber kegembiraan untuk orang lain dan saya pula mendapat sesuatu yang saya memang mahukan,” katanya merujuk kepada sehelai blazer berwarna coklat lembut yang didatangkan bersama tali pinggang warna senada dan sehelai skirt labuh warna putih idamannya.

Selain mendapatkan baju baharu tanpa perlu membeli, Hanis merasakan pengalaman itu lebih daripada sekadar fesyen. Ia tentang berkongsi, berinteraksi dan merasai kegembiraan melihat pakaian ‘hidup semula’ di tangan orang lain.

“Rasa puas hati itu lain macam. Bukan setakat baju, tapi pengalaman itu sendiri membuat saya seronok, lebih-lebih lagi kerana saya sudah berazam untuk mengurangkan pembelian pakaian dan hanya membeli sesuatu yang saya betul-betul perlukan sahaja,” katanya.

Secara ringkas, ‘closet swap’ ialah inisiatif peserta membawa pakaian atau apa sahaja fashion item yang mereka tidak lagi mahu pakai dan menukarnya dengan pakaian orang lain.

Sekumpulan wanita yang terlibat dalam acara closet swap penganjuran Fashion Revolution.

Tujuan utamanya bukan sekadar pertukaran pakaian, tetapi juga memupuk kelestarian dalam fesyen. Daripada membuang pakaian lama, setiap helai diberi peluang ‘hidup semula’ di tangan orang lain.

Ia juga membantu peserta menjimatkan wang kerana mereka boleh mendapatkan pakaian baharu tanpa perlu membeli, sambil memberi nilai kepada pakaian yang mungkin sudah tidak digunakan.

Antara organisasi yang cukup aktif dalam inisiatif pertukaran pakaian adalah Fashion Revolution, pergerakan global bukan berasaskan keuntungan yang memperjuangkan industri fesyen yang bersih, selamat, adil, telus dan bertanggungjawab.

Misi utamanya adalah untuk menggalakkan amalan menghormati pekerja, alam sekitar dan komuniti dalam setiap peringkat pengeluaran serta menyokong pelan tindakan untuk mengurangkan sisa, memperlambat budaya ‘fast fashion’ dan memanjangkan hayat pakaian.

Pengurus Negara bagi Fahion Revolution Malaysia, Melissa Tan berkata, organisasi itu menganjurkan acara ‘closet swap’ sebulan sekali.

“Fokus utama kami adalah mendorong perubahan tingkah laku, membantu peserta menyedari bahawa mereka tidak perlu lagi kerap membeli pakaian baharu,” katanya kepada CitaRasa.

Jelas Melissa, pengalaman berkecimpung dalam industri fesyen sebagai seorang model juga memberikan pendedahan kepada dirinya tentang barangan fesyen yang menjadi antara barangan buangan paling banyak di tapak pelupusan sampah sekali gus disifatkan sebagai simbol pembaziran dalam industri fesyen.

“Antara penyebabnya adalah kini, ketika barangan lain menjadi bertambah mahal, pakaian pula menjadi semakin murah.

“Industri fesyen moden menghasilkan pakaian yang semakin murah, namun kos rendah itu sering dicapai kerana pekerja dibayar upah yang sangat rendah, kadangkala di bawah standard hidup yang sepatutnya,” kongsi Melissa.

Justeru, Fashion Revolution Malaysia terpanggil menganjurkan inisiatif ‘closet swap’.

Peserta boleh membawa mana-mana pakaian atau barangan fesyen yang masih cantik dan elok ke lokasi pertukaran.

“Kami menerima apa sahaja jenis pakaian, kecuali kemeja-T acara larian atau acara dengan pemberian barangan percuma (goodies).

Menurut Melissa, antara barangan paling menarik yang pernah ditukar bagi acara ‘closet swap’ anjurannya ialah dress Registration of Marriage (ROM).

“Apabila kita bertukar pakaian, kita bukan cuma bertukar baju, malah kita juga bertukar cerita. Salah satu pertukaran yang paling saya ingat adalah seorang wanita yang menukar dress ROM dalam salah satu sesi ‘closet swap’ kami.

“Dia rasa seronok apabila melihat sehelai dress yang sebelum ini cukup bermakna dalam hidupnya bakal membawa makna besar dalam hidup orang lain juga,” katanya.

Dalam satu-satu sesi, Melissa berkata mereka akan mengumpulkan antara 25 hingga 30 orang peserta dengan melibatkan sekitar 300 barangan tukaran.

Kongsi Melissa lagi, acara tersebut secara peribadinya telah menjadikan dia lebih intentional apabila berbelanja. Bahkan, Melissa mendedahkan sudah hampir tujuh tahun dia tidak langsung membeli pakaian baharu.

“Secara peribadinya, ia membantu menghilangkan craving untuk membeli pakaian baharu dalam diri saya. ‘Closet swap’ juga membantu saya memahami gaya peribadi sendiri, tanpa terpengaruh dengan taktik pemasaran yang sudahnya menjadikan kita membeli barangan yang mungkin tidak bersesuaian dengan gaya peribadi kita,” katanya.

Bagi organisasi berasaskan wanita, Women’s Circle of Malaysia (WCM) pula, penganjuran ‘closet swap’ pertamanya pada November tahun lalu bersama organisasi berasaskan pakaian Irregular Atelier telah berjaya menarik minat orang ramai untuk mula memberikan perhatian terhadap inisiatif itu.

Pengasas WCM, Ranessa Theyakaraja berkata, susulan sambutan terhadap acara itu, mereka bakal menganjurkan Closet Swap 2.0 November tahun ini, namun belum memperincikan lokasi dan tarikhnya.

Menurut pengasas Irregular Atelier, Michelle Tan, inisiatif tersebut dibuat selepas dia mendapati orang ramai sebenarnya mahu meraikan minat mereka dalam dunia fesyen, namun mahu mengurangkan kesan bahayanya terhadap Bumi.

“Menerusi pertukaran pakaian, kita boleh meneroka gaya peribadi tanpa perlu berbelanja. Selain itu, kita juga boleh bertukar cerita antara satu sama lain tentang memori pakaian yang dipilih untuk acara itu,” katanya.

Michelle juga berkata, dia melihat pengguna di negara ini sudah lebih terbuka tentang kemampanan dalam fesyen dan sentiasa mencari fabrik asli seperti kapas dan linen, serta membeli pakaian terpakai atau yang diperbuat daripada bahan kitar semula.

Tip dari Michelle buat mereka yang mahu mengamalkan kemampanan tanpa rasa terbeban, mulakan dengan langkah kecil.

“Fikirkan tentang setiap pakaian anda seperti bolehkah anda membaiki pakaian anda dan elak daripada membeli yang baharu, atau adakah apa yang anda beli benar-benar berguna dalam kehidupan seharian atau adakah ia hanya akan tersimpan dalam almari?

“Menjaga apa yang kita sudah miliki dan memanfaatkan apa yang sedia ada boleh memberi impak yang sangat besar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN