LANGKAWI – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan setakat ini tiada maklumat baharu diterima berhubung cubaan kemasukan kapal membawa pelarian etnik Rohingya ke perairan negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya bekerjasama dengan agensi penguat kuasa negara jiran bagi memastikan tiada kapal tidak sah menceroboh perairan negara.
“Setakat ini tiada kapal yang sedang menuju ke Malaysia dan kalau ada, ia tidak akan terlepas daripada risikan kita.
“Kita ada kerjasama dengan negara jiran dan perkongsian maklumat yang mana setakat ini tiada maklumat mencurigakan diterima,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat dan memantau operasi kawalan sempadan di Telaga Harbour Marina, di sini hari ini.
Katanya, perairan negara mempunyai sistem radar serta bilik operasi yang mampu mengesan aktiviti mencurigakan, seterusnya memastikan tiada pihak dapat menceroboh.
Minggu lalu, akhbar ini melaporkan insiden kapal karam yang dipercayai membawa 250 pelarian etnik Rohingya akibat cuaca buruk. Kapal tersebut dipercayai berlepas dari Teknaf di selatan Bangladesh menuju ke Malaysia.
Sementara itu, dalam program sama, Saifuddin memaklumkan pelaksanaan Op Tiris di negeri ini sehingga Rabu lalu merekodkan 58 kes melibatkan rampasan pelbagai barangan kawalan dengan nilai keseluruhan RM121,945.45.
Menurutnya, rampasan diesel mencatatkan nilai tertinggi sebanyak RM101,676.20 diikuti petrol RM10,561.54, minyak masak RM4,839.60 dan bakinya RM4,868.11 melibatkan gas LPG, gula serta tepung gandum. – KOSMO! ONLINE













