fbpx
Gambar fail bertarikh 21 Mac 2024 menunjukkan pelarian Rohingya menunggu untuk diselamatkan dari bot mereka yang karam di luar pantai Aceh, Indonesia. - AFP

Bot bawa pelarian Rohingya, warga Bangladesh karam, 250 hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GENEVA – Kira-kira 250 orang hilang selepas sebuah bot yang membawa pelarian Rohingya dan warga Bangladesh terbalik di Laut Andaman, demikian menurut agensi pelarian dan migrasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti laporan akhbar The Guardian.

Agensi tersebut berkata, kapal pukat tunda yang membawa lebih 250 lelaki, wanita dan kanak-kanak karam akibat cuaca buruk dan kesesakan. Ia berlepas dari Teknaf di selatan Bangladesh menuju ke Malaysia.

“Kapal pukat tunda itu dilaporkan karam akibat angin kencang, laut bergelora dan kesesakan,” kata Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) dalam satu kenyataan semalam.

Beribu-ribu pelarian Rohingya mempertaruhkan nyawa mereka setiap tahun melarikan diri daripada penindasan dan perang saudara di Myanmar. Mereka mengembara melalui laut, selalunya dengan bot sementara.

Mereka yang menaiki bot itu mungkin meninggalkan kem Cox’s Bazar di tenggara Bangladesh, di mana lebih sejuta pelarian yang melarikan diri dari negeri Rakhine di barat Myanmar hidup dalam keadaan daif.

Keadaan sebenar yang berkaitan dengan insiden terbaharu itu tidak jelas, tetapi maklumat awal menunjukkan bahawa kapal itu membawa kira-kira 280 orang dan meninggalkan Bangladesh pada 4 April lalu.

Pengawal Pantai Bangladesh (BCG) berkata, salah satu kapalnya yang dalam perjalanan ke Indonesia, berjaya menyelamatkan sembilan orang dari laut, termasuk seorang wanita pada 9 April lepas.

“Kapal pengangkut bendera Bangladesh, MT Meghna Pride ternampak beberapa orang terapung di laut menggunakan tong dan kayu balak, lalu menyelamatkan mereka dari perairan dalam berhampiran Kepulauan Andaman,” kata jurucakap BCG, Leftenan Kdr Sabbir Alam Sujan kepada AFP. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN