fbpx

KPK selesai isu keluhan pekebun kecil getah di Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pertemuan yang diadakan bersama seorang pekebun kecil getah pada Ahad lalu.

PUTRAJAYA – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah menyelesaikan isu permasalahan seorang pekebun kecil di Kedah yang tular mengenai keluhan harga getah rendah dan permohonan kepada kerajaan meningkatkan harga getah.

KPK dalam kenyataan di sini berkata, pihaknya telah mengadakan perjumpaan bagi mendengar keluhan dan menangani permasalahan yang dihadapi oleh pekebun kecil berkenaan pada pada Ahad lalu.

Katanya, hasil positif daripada pertemuan itu, masalah pekebun kecil berkenaan telah diselesaikan secara terus di mana Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) beliau telah diperbaharui melayakkan dia menerima bantuan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan bantuan-bantuan kerajaan yang berkaitan.

“Dengan usaha ini, pekebun kecil tersebut akan menikmati insentif IPG yang telah dinaikkan daripada RM2.50 sekilogram kepada RM2.70 sekilogram bermula Januari tahun ini.

“Ini adalah inisiatif kerajaan untuk menangani isu kejatuhan harga dan meningkatkan pendapatan pekebun kecil bagi meringankan beban mereka.

“Kenaikan Paras Harga Pengaktifan (PHP) sebanyak 20 sen ini memastikan pekebun kecil akan menerima hasil penjualan cup lump (ketulan cawan) tidak kurang RM 2.70 sekilogram,” kata kenyataan itu hari ini.

Jelas kenyataan itu, sejak IPG mula dilaksanakan pada September 2015 sehingga 30 Jun lalu, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM457,526,196 juta bagi pembayaran IPG.

“Kerajaan amat prihatin dan sentiasa melipat ganda usaha bagi membantu pekebun kecil getah dari semasa ke semasa.

“Kementerian dan agensi terlibat telah memperhalusi cadangan kenaikan PHP, IPG dan bantuan-bantuan lain yang bersesuaian untuk diagihkan kepada pekebun kecil, mengambil kira cabaran yang dihadapi oleh sektor getah pada masa kini,” ujarnya.

Tambahnya, pekebun kecil adalah disyaratkan untuk memiliki PAT-G yang dikeluarkan oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) secara percuma bagi sebarang aktiviti urus niaga getah dan sebagai syarat untuk pemberian insentif dan bantuan.

“Bagi memudahkan urus niaga di peringkat pekebun kecil, LGM juga telah mewajibkan penggunaan RRIMNiaga kepada pelesen getah.

“Selain itu, rekod transaksi urusniaga adalah lebih telus dan proses penyaluran bantuan adalah lebih mudah kerana dapat dilakukan secara automatik serta pembayaran insentif akan disalurkan terus kepada akaun bank pekebun kecil,” katanya.

Selain itu, kementerian melalui LGM juga telah memperkenalkan pelbagai projek dan insentif lain bagi membantu pekebun kecil meningkatkan pendapatan termasuk Insentif Pengeluaran Lateks (IPL), Projek Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) dan pelaksanaan MyRol.

LGM juga terus menggalakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan untuk penghasilan klon-klon getah yang berkualiti tinggi untuk meningkatkan produktiviti serta automasi dalam sektor huluan industri getah manalaka kajian mendalam dalam sektor hiliran khususnya bagi penghasilan produk-produk berasaskan getah bernilai tambah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI