IPOH – MIC menegaskan keutamaannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah untuk memenangi kerusi yang diperuntukan Barisan Nasional (BN), bukannya menuntut tambahan kerusi untuk ditandingi.
Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran berkata, keutamaan MIC ketika ini adalah membantu BN dalam PRN dan sebarang keputusan mengenai agihan kerusi perlu dibuat berdasarkan peluang kemenangan terbaik.
“Semua pihak perlu faham bahawa ini bukan soal mendapatkan lebih banyak kerusi, apa yang penting adalah memenangi kerusi yang diperuntukan. Jadi, kita perlu memilih pendekatan terbaik. Ia bukan lagi soal mahu lebih banyak kerusi atau menuntut kerusi tertentu. Semua orang mahu (lebih banyak kerusi), tetapi jika tidak menang, rugilah,” katanya selepas menghadiri Sambutan Hari Keluarga sempena Ulang Tahun MIC ke-80 di Taman D.R Seenivasagam, di sini hari ini.
Menurut Vigneswaran, rundingan kerusi untuk PRN Johor telah dimuktamadkan, manakala rundingan bagi PRN Melaka yang dijangka diadakan dalam masa terdekat dipercayai tidak berdepan masalah.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah dan kerusi yang akan ditandingi MIC di Johor kerana perkara itu berada di bawah bidang kuasa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.-KOSMO! ONLINE.














