fbpx
JAHABERDEEN (tengah) ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung Tahunan KLBA hari ini.

Hannah diharap campur tangan isu pusat latihan KLBA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR  -Presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA), Datuk Seri Dr. Jahaberdeen Mohamed Yunoos mengharapkan penglibatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berhubung pusat latihan di Arena Badminton Cheras.

Selepas menunggu selama empat tahun bagi mendapatkan ‘rumah tetap’ untuk pemain-pemain naungan KLBA menjalani latihan, namun segalanya tampak suram apabila belum ada jawapan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Jahaberdeen berkata, perjumpaan dengan Hannah dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud mungkin menjadi salah satu pilihan bagi menyelesaikan kemelut tersebut dalam misi menjayakan pembangunan sukan badminton di Kuala Lumpur.

“Kami sudah menunggu selama empat tahun, namun masih belum menerima maklum balas positif mengenai penyerahan arena itu kepada KLBA.

“Jika semua pihak serius mahu melihat badminton negara kembali berada pada tahap tertinggi, pembangunan di peringkat akar umbi perlu diberikan termasuk menyediakan fasiliti yang sesuai kepada persatuan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KLBA yang menyaksikannya mengekalkan jawatan presiden tanpa bertanding untuk penggal 2026 hingga 2030.

Ketika ini, KLBA terpaksa mengharapkan ihsan serta kerjasama 28 kelab badminton swasta sebagai pusat latihan pemain selain mengadakan sesi latihan berpusat di gelanggang yang disewa.

“Saya tidak pasti apakah kekangan yang dihadapi DBKL. Kami masih belum bertemu dengan Datuk Bandar yang baharu dan berharap dapat mengadakan perbincangan dalam masa yang terdekat.

“Kami juga bercadang untuk bertemu dengan Hannah Yeoh kerana isu ini akhirnya membabitkan aset di bawah bidang kuasa DBKL,” ujar Jahaberdeen.

Dalam perkembangan lain, Jahaberdeen mengekalkan jawatan presiden tanpa bertanding manakala Datuk Prof. Dr. Sivamurugan Pandian menang jawatan timbalan presiden sementara dua jawatan naib presiden dimenangi Dr. Mahendran Ponnudurai dan Ng Chee How. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN