fbpx

Diplomasi pendidikan pertahanan untuk kestabilan, keamanan ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad (lima dari kanan) pada Mesyuarat Ketua-ketua Universiti, Kolej, Institusi Pertahana Ke-25 di ibu negara

KUALA LUMPUR – Negara-negara ASEAN perlu bersama-sama memacu usaha dalam memastikan kestabilan dan keamanan yang berpanjangan di rantau ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dunia ketika ini berada di masa multipolariti yang hebat dengan persaingan yang semakin meningkat dalam domain ekonomi dan keselamatan.

Ujar beliau, persaingan geopolitik itu
jika tidak diuruskan boleh menjejaskan kerjasama, perkongsian dan keamanan global yang telah lama terbentuk.

Justeru, katanya, kini adalah masa yang tepat untuk mendorong diplomasi pendidikan pertahanan sebagai cara untuk keamanan dan keselamatan yang mampan.

“Dengan memasukkan pendidikan keamanan ke dalam kurikulum kita, kita boleh menyumbang kepada promosi kestabilan berpanjangan di rantau ini.

“Pendidikan keamanan, dengan tumpuannya pada tanpa kekerasan, pembinaan keamanan dan penyelesaian konflik adalah penting dalam usaha kita untuk mencapai keamanan yang mampan,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Ketua-ketua Universiti, Kolej, Institusi Pertahanan (ARF HDUCIM) Ke-25 di ibu negara hari ini.

Terdahulu, Mohamad berkata, ARF HDUCIM yang bermula pada tahun 1994 menjadi platform penting.untuk memupuk dialog, membina kepercayaan dan menggalakkan keamanan dan kestabilan di rantau ASEAN.

Menurut beliau, acara itu telah diadakan di pelbagai negara, termasuk Republik Korea, China, Jepun, Rusia serta India dan menjadi satu keistimewaan buat Malaysia menjadi tuan rumah tahun ini.

“Pertemuan ini telah membolehkan kita untuk mengiktiraf peranan penting institusi pendidikan pertahanan dalam ARF.NIa telah membuka jalan, untuk meningkatkan kerjasama dan rangkaian,” katanya.

ARF HDUCIM yang berlangsung dari 1 hingga 3 Ogos 2023 dan dipengerusikan oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) diadakan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Ia disertai oleh 27 buah negara termasuk negara-negara ASEAN dan negara-negara rakan dialog.

Forum itu merupakan platform bagi membincangkan isu-isu keamanan dan keselamatan dalam kalangan institusi ketenteraan di wilayah Asia Pasifik.

Selain itu, ia turut membincangkan perkara-perkara berkaitan pendidikan, penyelidikan, latihan dan pembangunan profesional yang berpaksikan pertahanan dan keselamatan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI