fbpx

Zii Jia makin buntu selepas tewas Terbuka Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA mengakui masih belum melihat sebarang progres meskipun sudah mendapatkan khidmat Tat Meng sebagai jurulatih pada masa ini.

PERSEORANGAN lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tidak dapat membendung rasa kecewa selepas dia tersingkir di pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Tokyo kelmarin.

Pada perlawanan itu, Zii Jia yang juga bekas pemenang kejohanan Seluruh England (All England) akur dengan kekalahan tiga set 22-20, 17-21, 19-21 kepada pemain Jepun, Kenta Nishimoto selepas memberikan tentangan sengit.

Selepas tewas di pusingan pertama empat kali berturut-turut termasuk pada Terbuka Korea minggu lalu, pemain No.18 dunia itu mengakui masih belum melihat sebarang progres meskipun sudah mendapatkan khidmat Wong Tat Meng sebagai jurulatih.

“Kalah lagi dan perlawanan yang sangat mengecewakan, itu sahaja yang saya boleh beritahu. Saya tak nampak sebarang progres setakat ini, saya minta maaf dan terima kasih,” kata pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu.

Untuk rekod, kekalahan itu turut menyaksikan Zii jia meng­alami kekalahan kedua berturut-turut sejak berada di bawah kendalian Tat Meng yang memulakan tugas awal bulan ini.

Keputusan itu turut memberi tamparan hebat kepada bekas juara Asia berkenaan dalam u­saha melayakkan diri ke tema­sya Sukan Olimpik 2024 yang akan berlangsung di Paris tahun depan.

Selepas tersingkir daripada Terbuka Jepun, Zii Jia kini memiliki masa beberapa hari bagi melakukan persiapan menjelang kejohanan Terbuka Australia yang akan berlangsung di Sydney 1 hingga 6 Ogos depan.

Sementara itu, seorang lagi perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong turut menamatkan cabaran pada Terbuka Jepun apabila tewas 17-21, 14-21 kepada pemain tidak ternama dari Jepun, Koki Watanabe di pusi­ngan kedua semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI