fbpx

Segera siasat Muhyiddin berhubung tender Fleet – Mahasiswa Keadilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yuveraaj Kalidasan ditemui pemberita selepas membuat laporan polis terhadap Muhyiddin Yassin di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh FAUZI BAHARUDIN/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menyiasat bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan skandal pemberian tender Projek Perbekalan, Pembaikan dan Penyelenggaraan Kenderaan Kerajaan (Projek Fleet) kepada syarikat Spanco.

Sehingga kini, sebanyak 14 laporan polis dibuat Mahasiswa Keadilan berikutan tender Projek Fleet bernilai RM4.6 bilion yang sepatutnya dimiliki oleh Konsortium Berjaya-Naza namun dibatalkan tanpa sebarang alasan sebelum diberikan kepada Spanco yang lebih mahal RM700 juta ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

Naib Pengerusi Mahasiswa Keadilan Malaysia, Yuveraaj Kalidasan berkata, setakat ini, pihaknya membuat sebanyak 14 laporan polis di seluruh negara terhadap Presiden Bersatu itu dan jumlah itu akan bertambah.

“Dalam hal ini mudah sahaja, seharusnya tender paling murah patut menang, itu adalah pengetahuan am. Jadi ini juga melibatkan dana awam, duit milik rakyat.

“Beliau telah memberikan projek itu kepada Spanco yang memegang kontrak tersebut 25 tahun dahulu, namun didapati kosnya lebih mahal RM700 juta,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, di sini, hari ini.

Tambah Yuveraaj, pihaknya juga akan membuat laporan yang sama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung penglibatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perkara ini.

“Kami yakin banyak perkara tersembunyi selama ini yang dilakukan beliau akan terdedah dengan siasatan terhadap beliau sekeluarga dalam isu ini.

“Dari sudut mahasiswa, wang yang banyak itu sepatutnya boleh diberikan kepada institusi pendidikan yang sekarang ini dilihat serba daif,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan syarikat usaha sama (JV) Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza telah memfailkan saman terhadap Kementerian Kewangan (MOF) kerana menamatkan surat hasrat (LOI) yang ditawarkan kepada mereka pada 2020.

Pengasas dan Penasihat Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan dipetik berkata, LOI yang berkaitan dengan kontrak untuk membekalkan kenderaan kerajaan telah ditamatkan tiga bulan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada Mac 2020.

Menurut beliau, kerajaan telah menamatkan perkhidmatan pihaknya dan memberikannya kepada Spanco.

Tambah Vincent Tan, secara tidak langsung, kerajaan bersetuju untuk membelanjakan RM700 juta lebih tinggi berbanding bidaan JV Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI