fbpx
SUFIAN SUHAIMI

Sufian Suhaimi ‘simpan’ cinta hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENELUSURI langkah Sufian Suhaimi selaku anak seni selepas debut single Terakhir sekitar tujuh tahun lalu, sememangnya momentum penyanyi itu terus meroket setiap kali karya baharu memancing tumpuan pendengar.

Vokal unik seiring penjiwaan mendalam dalam setiap bait lirik, menjadikan lelaki berusia 31 tahun itu antara penyanyi yang diminati ramai.

Pelbagai percubaan karya diketengahkan Sufian untuk kekal relevan dalam radar industri seni tanah air, selain berjinak-jinak dalam bidang perniagaan demi persediaan masa depan.

Namun, dek status bujang dan sering diselubungi kisah lara jiwa, isu peribadi Sufian lebih mudah menangkap sensasi berbanding soal karier mahupun bisnes.

Tidak melatah meski disua soal kekasih, seperti insan lain, Sufian turut melalui fasa turun naik dalam setiap perhubungan yang terjalin.

“Saya macam orang lain, bercinta dan pernah putus, namun jika orang kata saya akan menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat, maka jawapan saya ialah tidak.

SUFIAN mengakui sukar untuk mengekalkan momentum kegemilangan sebagaimana yang pernah diraihnya suatu ketika dahulu. Dalam masa sama, dia percaya lagu terbaharunya Menggenggam Bahagia bakal mengulang sejarah yang sama.

Selesa tidak berkongsi

“Saya masih lagi dalam fasa mengenali hati budi si dia, setiap perhubungan menuntut proses yang pasti mengambil masa bukan sehari dua.

“Jodoh rahsia Tuhan, saya pun tidak tahu bagaimana pengakhiran hubungan ini, saya ambil langkah bersederhana dengan tidak mahu terlalu banyak berkongsi,” katanya

Pada masa sama, penyanyi asal Mersing, Johor itu mengakui sering dilemparkan kata-kata kurang enak memperlekehkan teman wanitanya dengan perniagaan bantal zikir yang diusahakannya gara-gara tidak berhijab.

Tidak menafikan perkara tersebut, Sufian menganggap perniagaan yang diusahakannya sebagai antara pendekatan dakwahnya kepada orang ramai.

Bagaimanapun jelas Sufian segala komen serta teguran netizen dianggap sebagai cara memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

“Apa yang saya buat cuma mahu berkongsi kebaikan melalui zikir dan selawat. Itu perjuangan saya untuk berdakwah dan dalam masa sama mencuba sesuatu yang baru.

“Saya tahu ada orang kaitkan bantal zikir itu dengan penampilan teman wanita saya. Saya ambil maklum terhadap komen ramai.

“Saya terima nasihat dan teguran kerana ada yang betul, tetapi jika kurang tepat saya tolak,” jelasnya panjang lebar.

Enggan terlalu lama larut dalam kisah peribadi, Sufian berkongsi pula penerbitan buah tangan terbaharu selepas sekian lama tidak mengeluarkan lagu genre balada yang sarat emosi.

BELAJAR daripada kesilapan masa lalu, Sufian enggan terlalu berkongsi perihal peribadinya kepada umum.

Karya hits

Sufian sebenarnya teringin kembali memenuhi permintaan peminat yang sudah lama dahagakan karya hits seperti lagu-lagu terdahulunya.

Mempertaruhkan single berjudul Menggenggam Bahagia hasil ciptaan bersama trio Sirkhan, Ibnu Rinkarnaen dan Sang Hitam, Sufian yakin karya tersebut mempunyai kualiti yang baik.

“Selain mempunyai hubungan rapat dengan komposer, saya rasa lagu ini ada kualiti tersendiri dari segi melodi, susunan muzik serta seni kata yang sangat mendalam.

“Lagu ini lebih kepada cita rasa sebagai pengkarya untuk menghasilkan lagu terbaik demi industri muzik tanah air,” kongsinya.

Ditanya punca mengambil masa lama tampil dengan lagu baharu, Sufian mengakui masih mencari rentak dan menyesuaikan diri bawah label pengurusan baharu iaitu RUSA Music.

“Bukan tidak mengeluarkan sebarang lagu, sebaliknya musim Syawal lalu saya buat lagu raya duet bersama Sarah Suhairi dan beberapa lagu lain.

“Saya rasa itu jalan terbaik untuk menyesuaikan diri bawah pengurusan baharu supaya orang kenal saya dengan seleksi berbeza contohnya menerusi gandingan saya dan Kmy Kme serta Luca Sickta.

“Bukan senang untuk bina kembali momentum yang pernah dilalui kerana jika terus keluar solo mungkin strategi tersebut agak tergesa-gesa,” luahnya.

Paling penting kata Sufian, dendangan berentak santai juga sebagai pemanasan sebelum muncul bersama lagu balada berat seperti Mengenggam Bahagia.

PERNAH muncul dengan single bergenre hip-hop dan pop sebelum ini, Sufian masih cuba mencari rentak sementelah berada bawah pengurusan baharu kini.

Nilai sentimental

Acap kali bekerjasama dengan komposer yang sama menerusi beberapa buah lagu, Sufian berkata, barisan komposer terbabit mempunyai nilai sentimental dalam hidupnya.

“Ramai tanya kenapa tak cuba kerja dengan komposer lain. Sebenarnya memang beberapa kali berkolaborasi dengan penggubah lain, cuma bersama mereka ini ada nilai sentimental.

“Saya bermula dalam industri bersama mereka jadi saya rasa perjalanan karier kami sama, sekali gus ini simbolik permulaan saya dengan RUSA Music.

Tidak menaruh harapan menggunung namun jejaka berkaca mata itu berharap lagu baharunya mampu mengembalikan semula kegemilangan karya melankolik lalu seperti Di Matamu, Terasa Ada dan Terakhir yany pernah menjulang namanya.

ENGGAN terlalu berkongsi perihal si dia yang bertakhta di hati, Sufian Suhaimi selesa menyimpan kemas cerita cinta demi menjaga privasi diri dan bakal suri hidupnya.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN