fbpx

Dilarang pasang bahan kempen di premis TNB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Semua pihak dilarang memasang bahan kempen di semua premis dan pepasangan elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN), di enam negeri, mulai 29 Julai ini.

Larangan itu termasuk menampal atau menggantung bahan-bahan kempen seperti poster, bendera, gegantung dan sepanduk di menara penghantaran, tiang elektrik, peti pembekal, pencawang, tiang elektrik konkrit dan talian atas.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian (Chief Distribution Network Officer) TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood, berkata, kerja-kerja pengorekan tanah juga dilarang, bagi mengurangkan risiko tersentuh kabel elektrik.

“Ia sekali gus menghindari kemungkinan berlaku gangguan bekalan elektrik akibat kerosakan kabel selain faktor risiko renjatan elektrik.

“Tindakan itu boleh menyebabkan gangguan bekalan elektrik ke premis-premis penting sepanjang proses pilihan raya ini seperti pusat-pusat penamaan calon, mengundi dan penjumlahan rasmi undi,” katanya.

Beliau berkata, jika kerja-kerja pengorekan tidak dapat dielakkan, hubungi pejabat TNB berdekatan untuk khidmat nasihat.

“Pemasangan bahan-bahan kempen tersebut boleh menghalang akses TNB untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pemulihan bekalan.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak memegang, membawa atau memasang tiang bendera di bawah mana-mana talian penghantaran elektrik.

“Ia termasuk tiang bendera yang diperbuat daripada buluh yang boleh menyebabkan renjatan elektrik pada mereka yang berada berhampiran,” ujarnya.

Menurutnya lagi, aktiviti berbahaya ini juga menyalahi peruntukan Seksyen 37, Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), iaitu mengganggu, mencacatkan atau merosakkan pepasangan elektrik.

“Sebagai langkah pencegahan, TNB, menerusi rondaan rutin, akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dan pihak berkuasa untuk menurunkan bahan kempen pilihan raya yang berisiko menimbulkan bahaya dan masalah kepada pengguna.

“Orang ramai yang ternampak situasi yang boleh mengancam keselamatan orang lain atau menjejaskan bekalan elektrik, boleh segera menghubungi Facebook TNB CareLine atau talian 15454 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi mencegah perkara yang tidak diingini daripada berlaku,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI