fbpx
Andi Bernadee kini hadir dengan album sulung yang memuatkan 12 buah trek, Ding Geding.

Ding Geding umpama buku, bukan tentang Andi Bernadee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HASRAT memiliki sebuah album studio penuh hanya tercapai selepas hampir sedekad menggauli rasa dan usaha dalam industri, penyanyi Andi Bernadee mengakui 12 lagu dimuatkan dalam buah tangan sulungnya seumpama sebuah penceritaan lengkap kehidupannya selama ini.

Akuinya, idea seumpama buku kompilasi tersebut diilhamkan daripada kisah yang diikuti menerusi platform Threads, bukannya bersandarkan pengalaman peribadi semata-mata.

Menelusuri kembara suka duka sebuah perhubungan, pemilik nama lengkap Andi Azrul Andi Mapangile​, 34, mengakui ada yang menyangka cerita cinta, patah hati dan hasrat ingin ke gerbang perkahwinan yang dimuatkan dalam album berkenaan merupakan kisah peribadinya.

“Album ini umpama buku tetapi bukan tentang saya, sebaliknya kisah yang saya baca dalam Threads. Platform itu kini jadi gelanggang khalayak berkongsi pelbagai topik baik, peribadi mahupun isu semasa.

Ilham

“Saya sendiri suka mengikuti perkongsian khalayak dari cerita seram hinggalah kes curang. Dari situ kita dapat ilham seterusnya kompilasikan setiap seleksi seperti sebuah cerita,” katanya selepas pelancaran album sulungnya, Ding Geding, baru-baru ini.

Menampilkan 12 lagu dengan pelbagai tema dan emosi, Ding Geding juga menjadi refleksi perjalanan hidup, pengalaman serta perkembangan seni Andi sebagai penyanyi dan penulis lagu.

Menurutnya, buah tangan sulung berkenaan boleh digambarkan sebagai permulaan semua rentak yang menghimpunkan pelbagai perasaan dan pengalaman dalam sebuah naskhah.

“Sejujurnya Ding Geding menyelitkan pelbagai emosi turun naik termasuk bahagia, teruja, kecewa dan lega kerana itu realiti kehidupan.

“Ini kerana perasaan manusia juga sentiasa berubah-ubah, tidak statik memandangkan segala emosi yang tercetus itu adalah impak dalam setiap situasi.

“Jadi saya mahu pendengar merasai alur pengembaraan insan bersama saya menerusi deretan dendangan dalam Ding Geding,” ujarnya.

Berkongsi lagi perihal setiap satu bingkisan, dedahnya paling menyentuh hati adalah lagu balada, Seksa Jiwa, yang memberi cabaran tersendiri.

Malah, karya yang juga antara seleksi kegemarannya dalam album berkenaan turut membuka langkah untuknya keluar dari zon selesa.

Bereksperimen

Pada masa sama, anak jati Kota Kinabalu, Sabah itu mengakui menjadi lebih berani bereksperimen dengan elemen baharu muzik, sekali gus menyerlahkan kematangannya. 

“Syukur akhirnya album ini dapat disempurnakan selepas menunggu selama sembilan tahun untuk menghasilkan album sulung.

“Ketika pembikinan, saya pernah melalui fasa suara tidak keluar dan badan menggeletar, tetapi saya tetap ke studio,” katanya.

Satu hal yang tidak kurang menarik juga, judul Ding Geding tersebut diinspirasikan daripada babak ikonik dalam filem klasik Melayu Ahmad Albab menerusi watak anak jin yang menggunakan ungkapan ‘berding-geding’ sehingga memberinya idea untuk menamakan diskografi berkenan sebegitu rupa.

“Saya mahu sesuatu yang apabila orang dengar, mereka terus tertarik, begitu juga album ini, setiap lagu mempunyai identitinya tersendiri,” ungkapnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN