MUAR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan parti itu akan menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekiranya cadangan untuk bertanding menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) tidak dipersetujui.
Beliau berkata, keputusan tersebut akan dimuktamadkan secara konsensus dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PN yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur hari ini.
Ujarnya, sekiranya situasi itu berlaku, ia bagaimanapun tidak dilihat sebagai kelemahan, sebaliknya memberi ruang autonomi kepada parti dalam menentukan strategi pilihan raya termasuk pembahagian 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
“Saya akan kata pada dia (Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) boleh ke sign, nanti saya semak dulu (katanya). Dia geleng kepala pun ya ke tidak? Kalau kata ‘ya’ Alhamdulillah, kalau dia diam kita macam mana?
“Kata lah dia tak sign, pastikan calon yang kita dah pilih ini gunakan logo Bersatu. Maknanya Bersatu tetap akan bertanding. Tapi kita rasa bebas sedikit, kalau dulu dengan PAS kita ada dua kerusi DUN,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Bersatu sempena PRN Johor ke-16 di Bakri, di sini malam tadi.
Terdahulu, majlis tersebut dihadiri lebih 2,000 penyokong yang memenuhi dewan bersama-sama barisan kepimpinan utama parti termasuk Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Dr Radzi Md Jidin; Setiausaha Agung Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut menyempurnakan gimik pelancaran dengan menyerahkan bendera kepada wakil jentera di kesemua bahagian parti berkenaan di negeri ini.
Dalam ucapannya, Muhyiddin turut meminta agar isu calon tidak dibangkitkan oleh penyokong parti, sebaliknya sokongan diberikan sepenuhnya kepada calon yang dipilih parti.
“Saya nak 100 peratus mereka yang dilantik disokong, ketua bahagian kena sokong, timbalan ketua bahagian kena sokong, sayap-sayap kena sokong, cawangan kena sokong. Soal pertama jangan bahas isu calon.
“Senarai nama kita telah terima, kita telah teliti, nanti akan kita umumkan dan bila sudah diumumkan maka sesiapa sahaja jadi ahli dan pemimpin Bersatu hendaklah, wajiblah menerima,” katanya. – KOSMO! ONLINE














