JOHOR BAHRU – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memberi tumpuan kepada tiga langkah strategik bagi memperkukuh dan mentransformasikan sektor permuziuman negara agar terus relevan serta berdaya saing selari dengan perkembangan semasa.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, langkah tersebut dilaksanakan menerusi Jabatan Muzium Malaysia bagi memastikan institusi muzium bukan sekadar berfungsi sebagai pusat penyimpanan artifak, malah menjadi medium pendidikan dan pembangunan masyarakat.
Menurutnya, langkah strategik pertama ialah memperkenalkan Geran Padanan Muzium yang bertujuan memperkasa pembangunan sektor permuziuman negara termasuk memperkukuhkan kemudahan dan aktiviti muzium.
“Langkah kedua pula ialah penggubalan Rang Undang-undang Muzium Malaysia (RUUMM) yang akan memperkukuh aspek tadbir urus sektor permuziuman negara secara lebih menyeluruh,” katanya.
“Langkah ketiga ialah pembangunan Muzium Alam Semula Jadi Malaysia di Putrajaya yang telah diluluskan Kerajaan Madani sekali gus merealisasikan perancangan yang telah dibuat sejak tahun 1989,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (FHMAPK) 2026 di Padang Akasia, Pusat Beli-Belah Angsana, di sini semalam.
Aaron berkata, projek itu merupakan antara inisiatif strategik negara dalam usaha memperkukuhkan aspek pemeliharaan, pendidikan biodiversiti dan warisan alam semula jadi negara.
“Sehingga kini, Muzium Alam Semula Jadi menyimpan sebanyak 76,666 spesimen merangkumi 73,934 koleksi zoologi, 2,075 koleksi botani dan 657 koleksi geologi,” katanya.
Tambah beliau, koleksi tersebut bukan sahaja mempunyai nilai saintifik yang tinggi, malah menjadi sumber rujukan penting dalam penyelidikan, pendidikan dan pemuliharaan warisan alam negara.
Aaron berkata, ketiga-tiga inisiatif itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam memperkasakan institusi muzium sebagai wadah pendidikan, pemeliharaan warisan, pembangunan modal insan serta pembinaan negara bangsa.
FHMAPK 2026 yang membawa tema Museums Uniting a Divided World berlangsung selama lima hari bermula semalam sehingga 28 Jun ini menghimpunkan pelbagai aktiviti menarik.
Antaranya pameran muzium dalam dan luar negara, bengkel, aktiviti STEM, persembahan kebudayaan, jerayawara warisan serta pelbagai program komuniti sepanjang festival berlangsung.














