NILAI – Gara-gara takut kehilangan pekerjaan, seorang wanita sanggup mereka cerita kononnya menjadi mangsa ragut sebelum perbuatannya terbongkar selepas disiasat pihak polis.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, mangsa berusia lingkungan 40-an membuat laporan mendakwa beg tangannya berisi wang RM10,636 diragut seorang lelaki di Jalan Persiaran Putra Point di sini, kira-kira pukul 12 tengah hari, Selasa lalu.
“Bagaimanapun, siasatan mendapati kejadian itu tidak pernah berlaku dan wanita terbabit kemudian mengaku laporan palsu bagi menyembunyikan penggunaan wang milik majikannya,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, suspek mengaku wang yang dilaporkan hilang telah digunakan untuk membayar sewa premis perniagaan sebanyak RM4,400 selain menampung kos rawatan kucing peliharaannya.
“Dia juga mengaku membuat laporan palsu itu kerana bimbang dibuang kerja dan berharap majikannya hanya membuat potongan gaji secara berperingkat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Johari berkata, sejak 1 Januari hingga 24 Jun lalu, pihaknya membuka 11 kertas siasatan membabitkan laporan polis palsu.
“Polis memandang serius perbuatan ini kerana membazirkan masa, tenaga dan sumber yang sepatutnya digunakan untuk menyiasat kes jenayah sebenar. Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














