fbpx

Suami isteri ditahan SPRM berkaitan tender jabatan kerajaan Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kenderaan mewah milik suspek yang disita bagi membantu siasatan salah guna kuasa di Pejabat SPRM Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.

KUALA TERENGGANU – Seorang pegawai sebuah jabatan kerajaan negeri Terengganu bersama isterinya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi membantu siasatan salah guna kuasa melibatkan pemberian perolehan bernilai keseluruhan ratusan ribu ringgit.

Sumber SPRM berkata, siasatan awal mengesyaki lelaki berusia lewat 30-an itu menggunakan kedudukannya untuk
mengesyorkan perolehan kerja kepada syarikat milik ibu bapanya.

“Syarikat itu diuruskan isterinya yang berusia 40-an. Perolehan yang diterima sejak tahun 2019 dipercayai mencecah nilai ratusan ribu ringgit.

“Suspek pertama ditahan pada pukul 6.30 petang semalam, manakala isterinya pula ditangkap sewaktu tampil memberi keterangan di Pejabat SPRM negeri, di sini, pada pukul 3.30 petang tadi,” katanya, di sini hari ini.

Sumber SPRM berkata, beberapa kenderaan mewah milik pasangan suami isteri tersebut yang dianggar bernilai lebih RM100,000 turut disita bagi membantu siasatan.

Tambah beliau, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini, esok bagi mendapatkan permohonan reman.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd. Yazid yang dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI