fbpx
Tangkap layar kemalangan di KM 8 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur

Perselisihan penunggang motosikal cetus nahas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA SELANGOR – Perselisihan faham antara dua penunggang motosikal menjadi punca kemalangan yang tular di Kilometer (KM) 8 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Kejadian itu turut dirakam dalam video berdurasi 12 saat yang tular di media sosial dan memaparkan detik sebuah motosikal hilang kawalan sebelum merempuh kenderaan di hadapannya.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajuddin berkata, siasatan awal mendapati insiden tersebut membabitkan dua motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang sedang dalam perjalanan menuju ke Kuala Selangor.

Menurut beliau, berlaku perselisihan faham antara kedua-dua penunggang sebelum salah seorang daripada mereka dipercayai bertindak cuba menarik kunci motosikal seorang lagi.

“Tindakan itu menyebabkan motosikal terbabit hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang sebuah Proton Iriz yang dipandu seorang wanita.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal dan pembonceng wanita mengalami kecederaan serta dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Shamsudin Wahab di talian 012-6102473 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di talian 03-3289 1222. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN