“Selamat pengantin baru, kami ucapkan, dipanjangkan jodoh, selamat berkekalan. Cantik sungguh oooh muda bestari, kedua pengantin suami isteri. Hidup muafakat diberkati. Hingga kekal ke anak cucu.”
Begitulah bait-bait ‘ratib’ melekakan halwa telinga yang berulang-ulang melintasi setiap kali aplikasi TikTok dilayari sejak seminggu atau mungkin dua minggu kebelakangan ini.
Sebetulnya, penulis sendiri sudah lama tidak menghadiri majlis-majlis seperti cukur jambul, berkhatan atau Maulidur Rasul. Sesekali ke majlis kenduri kahwin pun, jarang benar kebetulan terserempak dengan geng berzanji dan marhaban.
Jadi, video berdurasi tidak sampai seminit dengan bermacam ragam sudut pandangan atau point ov view (POV) dalam TikTok cukup mudah menangkap mata.
Tidak sahaja pengguna biasa, pencipta kandungan dan para pensohor, tambah menarik apabila ramai dalam kalangan artis turut terjebak menjadi peserta geng marhaban memeriahkan garis masa (timeline) akaun media sosial rata-rata pengguna.
Paling membanggakan, artis-artis yang terjebak ‘demam’ marhaban bukan kategori biasa-biasa. Ada Datuk Siti Nurhaliza Fahrin Ahmad, Datin Alyah, Zara Zya dan ramai lagi.
Lucu dan menghiburkan, namun di sebalik keseronokan kita melihat aksi mencuit hati geng marhaban TikTok, hati tiba-tiba terjentik sedar bahawa marhaban yang merupakan satu cabang seni suara Islam itu kebanyakan hanya dipelopori warga emas, kaum ibu yang sudah pencen dan suri rumah.
Memang jarang sangat kita melihat geng marhaban yang sering dipanggil memeriahkan satu-satu majlis keramaian disertai orang muda. Rata-ratanya sudah berkedut dan ada yang memerlukan kerusi kerana tidak boleh bersimpuh lama-lama. Itu adat dunia yang tidak boleh dipertikaikan.
Bukan menidakkan, tetapi orang muda sedang tunggu waktu berusia untuk masuk ke dunia orang tua. Sabar ya, dunia geng mak cik marhaban akan ada wanita lain pula mewarisi jika panjang usia nanti.
Namun seperkara yang sangat positif, selain platform ‘buat duit’ dan hiburan, kita wajar berterima kasih kepada TikTok kerana mempopularkan marhaban dalam kerancakkan bermacam konsert artis popular kini.
Bagi yang tidak tahu, sejarah awal seni barzanji dan marhaban bermula pada zaman kerajaan Fatimiyyah yang memerintah Mesir atau zaman Abasiyyah ketika pemerintahan Harun Ar-Rasyid iaitu sekitar 200 tahun selepas kewafatan Rasulullah SAW.
Seni berzanji hanya tersebar ke Tanah Melayu sekitar 100 tahun lalu menerusi kitab-kitab barzanji. Lama-lama kelamaan nazam-nazam dalam kitab berkenaan dipanggil marhaban dan dilagukan ikut kesesuaian majlis. Nak tahu lebih kenalah membaca.
Trend yang bagus kita ikut, namun ada moleknya tahu makna di sebalik konten.Tahniah geng marhaban! -KOSMO! ONLINE














