fbpx

Hasrat datuk cari kayu bina rumah tidak kesampaian – cucu Bah Mail

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JUNI Harun (kanan) bersama seorang ahli keluarganya menunggu mayat Bah Mail di perkarangan Bilik Forensik Hospital Lipis, hari ini.

LIPIS – Cucu warga emas Orang Asli yang maut selepas hilang di hutan tidak menyangka hasrat datuknya pergi ke hutan mencari kayu untuk membuat rumah berakhir dengan penemuan mayat mangsa di anak sungai di Kampung Chekai, Pos Betau, di sini semalam.

Juni Harun, 33, berkata dia amat sedih apabila datuknya Bah Mail Pak Gendet, 76, meninggal dunia sebelum hajat mangsa untuk membina sebuah rumah dapat direalisasikan.

“Datuk masuk ke hutan berdekatan kampung untuk mencari kayu bagi membina rumah sebagai tambahan kediaman yang ada tetapi malangnya dia meninggal dunia sebelum sempat disempurnakan hajatnya.

“Kebiasaannya, memang dia selalu masuk ke hutan mencari kayu teras selain sumber hutan lain bagi keperluan makanan keluarga seperti kebanyakan penduduk Orang Asli di kampung,” katanya di perkarangan bilik forensik Hospital Lipis, di sini hari ini.

Menurut Juni, Bah Mail yang mempunyai enam orang anak dan 20 orang cucu tidak menunjukkan apa-apa perubahan ketika keluar rumah pada 9 Julai lalu dengan hanya membawa parang untuk mencari kayu di hutan yang terletak di kawasan berbukit dekat kampung itu.

“Sebagai cucu saya juga khuatir dengan keadaan usia datuk yang masih sanggup membuat kerja berat lagi pun dia menghidap penyakit darah tinggi namun kami sekeluarga tidak pernah melarang kerana bagi datuk, masuk ke hutan merupakan amalan biasa sejak usia muda.

“Kami sekeluarga dan penduduk kampung ini terkejut apabila mendapat tahu mayat datuk ditemukan oleh pasukan menyelamat berdekatan anak sungai kampung ini setelah masuk hari kesepuluh usaha mencarinya,”katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, pasukan penyelamat menemukan mayat Bah Mail yang hanya tinggal sedikit daging di bahagian punggung dalam keadaan tertiarap di sebatang anak sungai pada pukul 1.05 tengah hari, semalam.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Lipis untuk bedah siasat dan pengecaman dilakukan keluarga mangsa.

“Pengecaman mayat dilakukan oleh anak mangsa berasaskan cincin, baju yang dipakai, sebilah parang dan seberkas kunci rumah yang dibawa turut disahkan milik mangsa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI