fbpx
Gambar keadaan mangsa yang dikongsikan pengguna media sosial di laman Threads hari ini.

Lelaki warga asing maut, terjun dari aras tiga KLIA2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Seorang lelaki warga asing maut selepas dipercayai terjun dari aras tiga Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2), malam tadi.

Insiden itu berlaku kurang tujuh jam selepas insiden pertama membabitkan seorang wanita warga asing yang turut maut akibat terjatuh daripada bangunan di lokasi berhampiran.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 9.10 malam.
Beliau berkata, saksi awam mendakwa melihat lelaki itu membuka beg sandang sebelum berlari dan melompat pagar penghadang di kawasan luar balkoni terminal itu sebelum terjun dari bangunan itu.

“Pasukan perubatan yang tiba di lokasi sempat memberikan rawatan kecemasan sebelum mangsa dihantar ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2.55 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, hasil semakan mendapati mangsa merupakan lelaki warga Algeria berusia 30 tahun.

Ravi berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai Laporan Kematian Mengejut (SDR).

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA di talian 03-8776 8222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita warga China berusia 27 tahun maut selepas terjatuh dari aras tiga Terminal KLIA2, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 petang itu, mangsa dilaporkan berada di kawasan luar balkoni aras tiga berkenaan sebelum terjatuh ke kawasan ruang pemunggahan terminal. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN