SEJAK lagu Waktu dilancarkan dan berkumandang di corong radio beberapa hari lalu, pelbagai reaksi dan pandangan dicetuskan peminat Ziana Zain.
Maklum sahajalah, sudah 15 tahun penyanyi berpengalaman itu hiatus atau sepi daripada menyuakan sebarang buah tangan baharu buat khalayak.
Kini, Ziana hadir dengan Waktu bersama rakan duet yang juga seorang pendatang baharu bernama Hasif Upin.
Barangkali ramai yang mempersoalkan mengapa penyanyi muda itu menjadi pilihan Ziana untuk berpadu suara di studio rakaman, sekali gus menghadiahkan karya tersebut.
Bukan itu sahaja, ada juga yang berasakan lelaki berusia 31 tahun itu hanya menempel, atau secara kasarnya sekadar menumpang populariti Ziana yang sudah lama memahat nama sebagai antara penghibur kesayangan Malaysia.
Menurut Hasif atau nama lengkapnya Hasif Sharuddin, tipulah andai kata-kata itu tidak mengguris perasaannya.
Namun baginya yang mempunyai lebih tiga juta pengikut TikTok, mulut orang memang tidak boleh ditutup dan dia positif baik Ziana mahupun dirinya, masing-masing mempunyai kelompok peminat tersendiri.
“Saya tidak tumpang populariti Ziana. Saya ada pengikut tersendiri kerana sebelum ini saya merupakan pempengaruh TikTok.
“Pendengar sekarang pun semakin bijak dan tahu menilai bakat yang saya ada.
“Saya terasa hati juga dengan komen kononnya menumpang populariti Ziara tetapi biasalah mulut orang, kita terima sahajalah sebab memang ini asam garam dunia seni,” katanya seraya tersenyum.

Peluang emas
Sementara itu, Ziana mengakui sebagai orang lama dalam industri dia mahu memberi peluang kepada pendatang baharu seperti Hasif yang akuinya, memiliki bakat besar.
“Bagi saya seni itu definisinya sangat besar. Tidak perlu kedekut kalau ada ruang, berikan (kongsikan) sahaja apa yang saya mampu.
“Saya juga dulu pendatang baharu dan tahu bagaimana rasa menjadi budak mentah,” ujar penyanyi berusia 55 tahun itu.
Kakak kepada penyanyi Anuar Zain itu turut memuji karakter Hasif yang mudah berurusan walaupun baru pertama kali bekerjasama.
“Hasif ada jiwa. Dia serasi dengan saya dan faham mengenai lagu ini.
“Saya mudah bekerja dengan dia. Saya pula jenis tidak memilih, baharu atau lama semua boleh jadi rakan duet,” tuturnya.
Teruja dapat bergandingan dengan penyanyi idola, Hasif turut menghadiri kelas vokal sebelum masuk studio rakaman demi memberikan yang terbaik buat rakan duetnya.
“Sepanjang menjadi penyanyi saya tidak pernah masuk kelas vokal kerana takut kena marah.
“Saya cepat terasa hati orangnya tetapi apabila tahu akan berduet dengan Ziana, jadi bersemangat ke kelas vokal.
“Ketika rakaman, badan saya menggigil dan wajah pucat. Tekak saya bengkak sehingga perlu ke hospital dan berehat kerana takut dengan jangkaan dan harapan orang,” katanya.
Menukar emosi perbualan, Ziana mendedahkan pernah dilanda rasa bimbang untuk tampil dengan lagu kerana sudah lama tidak merakamkan lagu di studio.

Cerewet
Sikapnya yang cerewet juga menjadi punca mengapa lama tidak hadir dengan lagu baharu sehingga pernah, hilang penghayatan sewaktu melantunkan lagu Waktu.
“Dilema semua penyanyi apabila orang mengharapkan karya dihasilkan menjadi siulan atau malar hijau.
“Saya agak cerewet tetapi ‘memukul’ jiwa saya. Saya pula lama tak masuk studio dan jenis ‘lambat panas’.
“Hati juga seakan beku apabila susah dapat penghayatan. Sampai saya doa minta Allah kirimkan rasa sedih untuk bolehkan saya bekerja,” tutur ibu kepada empat cahaya mata itu.
Biarpun baru beberapa hari dilancarkan, single Waktu berjaya menembusi carta Muzik-Muzik. Besar harapan peminat melihat Ziana kembali memanaskan pentas ikonik, Anugerah Juara Lagu (AJL).
Ziana mengakui risau memikirkan harapan tinggi peminat terhadap dirinya dan lagu tersebut.
Namun, dia mahu optimis dan memohon orang ramai mendoakan kelancaran kembara seninya.
“Sebenarnya takut juga bila ada yang mengharapkan Waktu mara ke AJL.
“Takut dengan harapan orang tetapi perkara tersebut satu doa. Sekiranya dikabulkan, saya terbuka untuk ke AJL,” tutup Ziana mengakhiri perbualan.

















