fbpx

Bukan calang-calang orang boleh miliki EV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kesedaran masyarakat tentang ekosistem EV di negara ini masih rendah tetapi minat, permintaan terus meningkat.

Bertuahnya badan jika ada yang sudah memiliki sebuah kenderaan elektrik (EV) atau bagi yang masih menyimpan niat di hati untuk memiliki kenderaan unik masa hadapan itu, teruskan berusaha agar misi tersebut dapat direalisasikan satu hari nanti.

Tidak kiralah kereta elektrik itu ‘recond’ dari luar negara atau dibeli daripada syarikat pengeluar utama tetapi tetapi ia kini menjadi satu trend popular dalam kalangan peminat automotif untuk memiliki sebuah EV.

Bersandarkan permintaan tersebut, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menyasarkan bahawa hampir 40 peratus daripada jumlah kenderaan di Malaysia menjelang tahun 2030 akan dikuasai oleh EV.

Seiring perkembangan tersebut, kerajaan dan juga pemain dalam industri berkenaan telah memperbanyakkan lagi perkhidmatan sokongan seperti stesen pengecasan di seluruh negara dan juga pusat servis selain pengedar bertauliah bagi kenderaan berkenaan.

Daripada pandangan mata kasar, EV yang memiliki ciri-ciri teknologi terkini yang menawarkan pemanduan hebat dan bergaya itu menggunakan kuasa bateri yang mana jangka hayatnya boleh mencapai sehingga 10 tahun sekali gus dapat menjimatkan perbelanjaan mengisi minyak.

Tetapi sebenarnya ekosistem EV begitu meluas bukan sahaja difokuskan kepada stesen pengecasan tetapi turut melibatkan aspek penyelenggaraan, pembaikan kenderaan, peralatan digunakan di bengkel, pusat servis yang perlu dinaik taraf untuk menawarkan perkhidmatan EV, perkakasan dan alat ganti serta juga tenaga kerja mahir dalam bidang tersebut.

EV tidak boleh dipandang mudah seperti memakai kenderaan biasa dan pemiliknya tidak boleh bertindak sendiri tanpa pengawasan orang yang lebih mahir dalam bidang tersebut untuk menyelenggara apatah lagi membaiki sendiri kenderaan tersebut kerana arus elektrik yang dijana daripada bateri boleh menjejaskan nyawa.

EV tidak boleh dihantar ke bengkel-bengkel membaiki kereta biasa kerana ia bakal mengundang padah bukan sahaja kepada kenderaan tersebut, malah kepada kakitangan yang kurang mahir membaikinya.

Hanya mekanik atau kakitangan yang mahir sahaja dalam bidang tersebut layak mengendalikannya kerana ia memerlukan peralatan dan mesin khusus bersesuaian dengan kenderaan tersebut.

Kesedaran masyarakat tentang ekosistem EV di negara ini masih rendah tetapi minat, permintaan terus meningkat dari semasa ke semasa, perubahan drastik perlu dibuat bukan sahaja di peringkat pemain tetapi juga kerajaan perlu menyokong bukan sahaja kempen kesedaran, infrastruktur malah penyediaan dana atau geran bagi pembangunan industri berkenaan.

Satu peluang yang besar perlu direbut oleh usahawan sedia ada atau baharu dalam bidang tersebut menjadi vendor, pembekal alat ganti EV dan membangunkan pusat servis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI