fbpx

Sanusi mohon ampun kepada Sultan Selangor, dakwa kenyataan diputar belit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi.

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor telah mengutuskan warkah kepada Sultan Selangor bagi menjelaskan konteks dan maksud sebenar ucapannya yang didakwa sengaja diputar belit.

Kata beliau, warkah tersebut diutuskan selepas mengetahui bahawa ucapannya telah diputar belit bagi menimbulkan kefahaman yang salah oleh ejen-ejen Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Warkah saya itu didahului dengan merafak sembah memohon ampun dan maaf kepada Tuanku Sultan Selangor seraya berharap tidaklah timbul kemurkaan baginda bersabit isu-isu yang sengaja dibangkitkan daripada ucapan itu.

“Selanjutnya saya mendoakan agar Tuanku Sultan dan Tuanku Permaisuri terus bersemayam di atas singgahsana Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan dalam keadaan sihat, sentosa dan penuh kemuliaan,” katanya dalam kenyataan di akaun Facebook rasminya, hari ini.

Katanya, beliau dimaklumkan oleh Pegawai Istana Selangor bahawa Sultan Selangor telah memberi perkenan untuk menerima dan membaca warkah itu pada semalam.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Sanusi berkata, beliau telah memberi keterangan kepada pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Bukit Aman pada pukul 2 pagi, semalam.

“Ia untuk melengkapkan siasatan mereka ke atas laporan-laporan yang telah dibuat oleh Angkatan Muda Keadilan Parti Keadilan Rakyat dan lain-lain.

“Demikianlah adanya untuk makluman semua yang berminat dalam isu ini. Air nan sengaja dikeruhkan moleklah dibiarkan jernih agar terlihat kilas ikannya, menangguklah di ketika itu,” tambahnya.

Kosmo! pada kelmarin melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap Menteri Besar Kedah yang mempertikai serta melanggar larangan menyentuh isu 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Muhammad Sanusi dalam satu siri ceramah mengeluarkan kenyataan yang didakwa menghina Sultan Selangor selain meremehkan pelantikan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI