fbpx
Afiq dan isteri menunjukkan puding karamel yang ditawarkan syarikat pada harga RM57 sekotak, mengandungi 30 bekas seberat 84 gram di pejabat syarikat di Petaling Jaya baru-baru ini.

Sijil halal perkukuh jenama Caramel by AH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sememangnya diyakini dan mampu menyokong pengukuhan jenama dalam sektor makanan dan minuman.

Bagi Hasjay Group Sdn. Bhd., perolehan sijil halal pada tahun 2019 banyak membantu me­ningkatkan yakinkan pelanggan bahawa puding karamel berjenama Caramel by AH adalah halal lagi bersih dan boleh dinikmati tanpa keraguan.

Pengarah Urusannya, Afiq Safwan Johari berkata, perniagaan bermula dari rumah pada tahun 2017 dan setelah mendapat sambutan memberangsangkan, mereka berpindah ke premis sendiri bagi memenuhi permintaan.

“Perniagaan kami berkembang pesat sehingga sekitar pertengahan tahun 2018, yang mana gerakan Beli Barangan Muslim, atau Buy Muslim First (BMF) begitu kuat tetapi terdapat khabar kurang enak di pasaran yang mendakwa kami kononnya syarikat bukan muslim.

“Antara faktornya adalah berpunca daripada nama AH yang kami gunakan, sedangkan ia sebenarnya merupakan gabungan huruf pertama nama saya dan isteri, Hanisah Razali,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Rakan Usahawan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) ini menambah kata, keadaan tersebut mendorong mereka memohon pensijilan halal pada Ogos 2018 dan puding karamel Caramel by AH menerima pengesahan berkenaan pada Januari 2019.

“Prosesnya boleh saya katakan amat mudah sekiranya kita memenuhi semua syarat ditetapkan.

“Sebagai perniagaan berstatus mikro ketika itu, kami hanya dikenakan bayaran RM200.

“Kami tidak menyaksikan sebarang lonjakan jualan yang luar biasa sejurus menerima pensijilan halal namun pada masa sama, cakap-cakap yang tidak enak didengar mengenai jenama kami langsung tidak kedengaran lagi.

“Pada masa sama, jenama ini terus berkembang kukuh sehingga ke hari ini, antaranya disokong status halal yang banyak membantu terutamanya dalam segmen perniagaan-ke-perniagaan (B2B),” jelas beliau.

Menurut Afiq, pematuhan pensijilan halal adalah mudah dan mereka tidak dibebankan dengan sebarang penambahan kos terhadap operasi syarikat.
“Kami telah memperbaharui pensijilan halal sebanyak dua kali kerana sijil halal yang diberikan adalah untuk tempoh selama dua tahun.

“Sasaran perniagaan kami dalam tempoh masa terdekat ini adalah untuk membuka cawangan baharu di Johor Bahru, sebelum ke Pulau Pinang meman­dangkan soal logistik adalah faktor penting dalam perniagaan puding karamel ini,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN