fbpx

Jangan ambil mudah emosi anak-anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MINGGU lalu tragis mengenai kejadian seorang remaja lelaki yang berusia 14 tahun dipercayai bertindak mencekik adik kan­dungnya sehingga mati.

Dalam kejadian menyayat hati yang berlaku di Kampung Bukit Piatu, Melaka Tengah itu, mangsa yang juga anak sulung ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan.

Suspek didakwa berubah sikap selepas menjadi mangsa buli di sekolah­nya.

Ujar bapa mangsa, sikap anak sulungnya yang bersekolah asrama sekolah Arab di Alor Gajah itu mula berubah selepas dia dikatakan dibuli pelajar senior di asramanya.

Dakwanya, anaknya itu dibuli sejak tingkatan satu tetapi hanya mendiamkan diri sehinggalah berlarutan ke tahun ini dan semakin teruk sebelum mula me­ngadu kepadanya dan isteri.

Dalam konteks ini, ibu bapa perlu memainkan peranan de­ngan turut menjaga emosi anak-anak supaya tidak ‘cedera’, sekali gus menyebabkan kesihatan mental mereka terjejas.

Pakar Psikologi, Prof Datin Dr. Mariani Md. Nor berkata, ibu bapa tidak boleh hanya menyempurnakan keperluan fizikal anak seperti wang ringgit atau gajet, namun lebih utama adalah be­laian emosi dan kasih sayang.

Katanya, ekosistem semasa boleh menyumbang terjejasnya kesihatan mental dan emosi golongan kanak-kanak serta remaja berkenaan.

“Hak mereka perlu dijaga de­ngan tidak membiarkan anak itu tanpa belaian emosi dan kasih sayang disebabkan sibuk pergi kerja pagi dan balik malam.

“Ibu bapa bukan setakat penuhi keperluan makan, minum, dan pakaian yang cukup buat anak, namun keperluan asas kedua iaitu kasih sayang, pengiktirafan dan keselamatan mereka juga penting,” katanya.

Senada dengan Mariani ialah Pakar Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Suriati Mohamed Saini.

Katanya, kemampuan untuk menyedari bahawa seorang kanak-kanak atau remaja memerlukan bantuan kerana intervensi awal boleh meningkatkan kesejahteraan mereka dan dengan penjagaan serta rawatan yang betul kebanyakan isu kesihatan mental boleh dirawat.

Ujarnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan mental anak-anak mereka termasuk menye­diakan persekitaran di rumah yang penuh dengan kasih-sayang dan penjagaan selain menggalakkan perbualan sihat.

Ia termasuklah mendengar secara aktif serta membenarkan mereka bercakap tanpa bersikap menghakimi atau kritikal.

“Mereka (anak-anak) akan bersikap lebih terbuka untuk bercakap mengenai masalah mereka, termasuk perasaan yang sukar dan tidak selesa.

“Jika anda bimbang dengan kesihatan mental anak anda, minta­lah bantuan, bercakap dengan seorang yang profesional seperti psikiatri atau kaunselor,” katanya.

Suriati menambah, persekitaran sihat di sekolah juga penting kerana kanak-kanak menghabiskan banyak masa di sana setiap hari dan mereka perlu dilengkapi kemahiran bagaimana menangani tekanan secara berkesan, menyelesaikan masalah dan membina ketahanan diri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN