fbpx

Selepas kes samun, penganggur dijel lagi curi duit dalam tabung dua buah masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Amirul (dua, kanan) menjalani hukuman penjara selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Bahau, di sini, hari ini atas kesalahan mencuri duit tabung di dua masjid di daerah ini. -Foto NOR AINNA HAMZAH

JEMPOL – Seorang penganggur yang baharu sahaja dijatuhi hukuman tiga tahun penjara dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen, Kuala Pilah, hari ini selepas mengaku bersalah merompak secara berkumpulan di Bahau, Jempol bulan lalu, sekali lagi dijatuhi hukuman penjara dan denda bagi dua pertuduhan di Mahkamah Bahau, di sini, hari ini.

Tertuduh, Muhammad Amirul Syafiq Daud Hamzah, 22, dari Kuala Lipis,Pahang mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Norhazwani Ishak.

Berdasarkan pertuduhan pertama tertuduh telah mencuri wang tunai RM50 dalam tabung milik Masjid Jamek Pekan Bahau di masjid itu pada 11 Jun lalu kira-kira pukul 11.15 malam.

Manakala, bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh melakukan perbuatan sama dengan mencuri wang tunai RM2,000 dalam tabung milik Masjid Jamek Batu Kikir di masjid tersebut pada 13 Jun lalu kira-kira pukul 1.40 pagi.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun, boleh juga dikenakan denda,jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menjatuhi hukuman penjara lapan hari, dan denda RM1,800 terhadap tertuduh bagi pertuduhan pertama, jika gagal membayar denda berkenaan tertuduh dikenakan enam bulan penjara.

Mahkamah juga menjatuhi hukuman 10 bulan penjara dari tarikh tertuduh ditangkap dan denda RM2,000, jika gagal bayar dikenakan tiga bulan penjara.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini pada hari sama, tertuduh merupakan penganggur dijatuhi tiga tahun penjara dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Pilah selepas mengaku bersalah merompak secara berkumpulan di Bahau bulan lalu. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI