fbpx

Reman Ketua Polis Daerah: Mahkamah tolak permohonan semakan SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
S. Arumugam yang mewakili responden keluar dari Mahkamah Tinggi Kuantan di Kuantan, hari ini.

KUANTAN – Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini menolak permohonan semakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap keputusan Mahkamah Majistret Kuantan, yang menolak permohonan reman terhadap seorang ketua polis daerah yang didakwa terlibat rasuah bernilai lebih RM1 juta.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz memutuskan demikian selepas meneliti hujahan dikemukakan SPRM yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Rifah Izzati Abdul Mutalif dan peguam yang mewakili responden, Datuk Bob S. Arumugam.

Zainal Azman dalam alasan penghakiman berkata, keputusan Mahkamah Majistret yang menolak permohonan mendapatkan perintah reman tersebut adalah betul.

“Dengan meneliti rekod yang ada di dalam mahkamah, saya putuskan bahawa keputusan Mahkamah Majistret untuk menurut keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh adalah wajar.

“Bagi saya jika kita menggunakan doktrin adalah tidak salah dan permohonan timbalan pendakwa raya untuk menyemak permohonan tersebut telah ditolak,” katanya dalam prosiding keputusan semakan jenayah di sini, hari ini.

Hakim juga menegaskan, Mahkamah Majistret di sini perlu membuat keputusan tersebut dan tatacara yang telah diputuskan seharusnya diguna pakai dalam kes itu.

Katanya lagi, Mahkamah Majistret tidak melakukan sebarang kesilapan dan terikat dengan keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh dan ianya adalah terkini.

Pada 7 Jun lalu, Mahkamah Majistret Kuantan menolak permohonan reman oleh SPRM terhadap ketua polis daerah berusia 53 tahun bagi memudahkan siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan lebih RM1 juta.

SPRM memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Majistret pada 21 Jun dan menamakan ketua polis daerah sebagai responden. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI