fbpx
Pembantu teknikal, Mohd. Rabani Rusyaidi (kanan) memberi penerangan kepada Rozlee ketika ditemui di Batu Gajah semalam.

Graduan TVET jadi rebutan industri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BATU GAJAH – “Berbaloi me­ngasah bakat di bawah program latihan teknikal dan vokasional (TVET) kerana pasaran bagi gra­duan TVET begitu luas ketika ini.”

Pandangan tersebut disuarakan Rozlee Ibrahim, 28, yang kini bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat penyedia sistem dan peralatan penternakan ayam, Pristine Glory Sdn. Bhd. di sini.

Berasal dari Tawau, Sabah, Roz­lee yang juga pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sebelum ini mengikuti latihan vokasional di Sekolah Menengah Teknik Tawau sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang elektronik di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Seri Iskandar.

“Berbekalkan kemahiran yang dimiliki, saya berjaya mendapat kerja berkaitan dengan bidang dipelajari. Saya ambil keputusan untuk terus menetap di Batu Gajah sejak 2015 kerana peluang kerjaya hadir tanpa saya me­nunggu terlalu lama.

“Bagaimanapun, ia tidak bermakna saya terus berhenti untuk mendalami ilmu berkaitan elektronik. Menerusi kenalan, saya mendapat tahu mengenai program TVET yang ditawarkan oleh Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak),” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Tidak mahu membuang masa, Rozlee berkata, dia mengambil keputusan untuk mengikuti kursus Basic Electric Single Phase yang merupakan kursus jangka pendek anjuran Pasak pada Mei lalu.

Pasak adalah antara peneraju program flagship pelan pemba­ngunan Perak Sejahtera 2030 di bawah Koridor TVET Malaysia.

Menerusi kursus tersebut, anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, dia terus mendalami ilmu berkaitan bidang elektronik seperti pendawaian asas, membuat papan kunci utama, menghasilkan pendawaian satu fasa serta mengenal pasti komponen elektronik.

“Saya tak boleh nafikan bahawa kursus yang ditawarkan ini mempunyai banyak kelebihannya. Selain daripada mengingati semula apa yang dipelajari sebelum ini, ia juga membekalkan saya dengan kemahiran-kemahiran baharu.

“Bahkan, ia juga membuka peluang kepada saya untuk me­ngenali lebih rapat pemain dalam industri selain berkenalan de­ngan rakan-rakan baharu dalam bidang tersebut,” katanya.

Rozlee berkata, sebaik tamat menjalani kursus tersebut, dia hanya mengambil masa kurang dari sebulan sebelum mendapat kerja dengan majikannya ketika ini.

Tambahnya, dia bercadang untuk membuka perniagaan sendiri pada masa hadapan, namun buat masa ini fokusnya adalah mencari pengalaman sebanyak mungkin sebagai langkah persediaan.

“Daripada pemerhatian saya, bidang elektronik atau elektrikal mempunyai potensi luas yang seharusnya diterokai oleh golongan muda. Ia mampu mendatangkan pulangan lumayan kepada mereka yang berminat.

“Saya mahu membuka syarikat yang menawarkan per­khidmatan pendawaian dan penyelenggaraan di kediaman ataupun bangunan kerana ia mendapat permintaan tinggi daripada pengguna ketika ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN