fbpx
MURID sekolah membelanjakan antara RM5 hingga RM10 sehari bagi membeli pelbagai jenis makanan dan minuman yang dijual di kantin sekolah pada waktu rehat. – GAMBAR HIASAN

Wang saku sekolah seorang anak kini RM10 hingga RM15 sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Kenaikan pelbagai kos makanan di kantin-kantin sekolah terutama di kawasan bandar menyebabkan ibu bapa perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM10 sehari bagi wang saku persekolahan anak mereka.

Ia belum mengambil kira wang saku yang perlu diberikan kepada anak-anak untuk menghadiri sekolah agama ataupun kelas tambahan setiap hari.

Ini bermakna, ibu bapa yang mempunyai tiga orang anak bersekolah perlu membelanjakan sekitar RM800 hingga RM1,000 setiap bulan bagi keperluan wang saku anak masing-masing.

Secara puratanya, setiap murid terutama yang berada di sekolah rendah akan menghabiskan antara RM5 hingga RM8 bagi membeli makanan dan minuman pada waktu rehat, manakala baki wang saku itu biasanya dihabiskan untuk membeli makanan ringan yang dijual di luar sekolah.

Antara jenis makanan yang biasa dibeli oleh murid-murid di kantin sekolah ialah nasi lemak ayam goreng yang dijual pada harga RM3 hingga RM4, nasi goreng ayam (RM3 – RM5), bihun goreng telur (RM3), air kotak (RM1.50), milo dan teh ais (RM2 – RM3) serta kuih-muih (RM0.50 – RM1).

Seorang ibu yang bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta, Juliana Mie, 41, berkata, perbelanjaan minimum untuk wang saku bagi empat anaknya iaitu masing-masing dua bersekolah rendah dan menengah adalah kira-kira RM1,240 sebulan.

Katanya, anggaran perbelanjaan harian untuk anak yang bersekolah rendah adalah RM5 hingga RM8 sehari, manakala RM10 hingga RM15 untuk yang berada di sekolah menengah.

“Duit poket itu belum terma­suk belanja makan ke sekolah agama atau kelas tambahan termasuk jika ada progam kokurikulum.

“Memang terasa sungguh kos belanja bulanan anak-anak dan jumlah itu sebenarnya sudah menyamai kadar sewa bulanan bagi sebuah rumah pangsapuri kos sederhana di Pulau Pinang,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

GAMBAR HIASAN

Bagi seorang penjawat awam, Radzi Ali, 45, pula, dia dan isteri perlu menyediakan RM750 hingga RM900 sebulan untuk wang saku anaknya termasuk dua yang tinggal di asrama sekolah menengah.

“Sebelum ini, dua anak saya yang bersekolah di tahun empat dan lima ada menghadiri kelas KAFA dan tuisyen. Namun, di­sebabkan terkesan dengan pe­ningkatan kos sara hidup, saya dan isteri memutuskan untuk memberhentikan mereka dari kelas tuisyen itu.

“Yuran kelas tuisyen dua anak (bersekolah rendah) untuk empat subjek sudah mencecah RM350 sebulan, ini belum masuk wang belanja mereka ke sekolah yang boleh mencecah RM10 sehari.

“Pening kepala bila memikirkan tentang kos belanja ha­rian anak-anak hari ini. Ibu bapa mana sanggup lihat anak-anak kelaparan saat rakan-rakan lain teruja membeli makanan di kantin,” ujarnya yang turut membe­lanjakan kira-kira RM50 se­minggu untuk dua anaknya yang tinggal di asrama.

Jelas Radzi lagi, anaknya yang bersekolah rendah akan mem­belanjakan RM5 sehari untuk membeli nasi lemak ayam berharga RM2 dengan minuman RM1, manakala baki RM2 lagi akan digunakan untuk membeli dua roti sosej selepas waktu sekolah di kantin.

Dalam pada itu, seorang suri rumah, Aina Ahmad, 39, berkata, dia mula membekalkan makanan untuk tiga anak yang bersekolah rendah dan menengah setiap hari sejak beberapa bulan lalu disebabkan peningkatan kos ke­perluan harian.

“Anak-anak hanya disediakan wang poket sebanyak RM2 untuk yang bersekolah rendah dan RM4 untuk yang menengah. Mujur jarak ke sekolah agak dekat iaitu hanya 800 meter dari rumah,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN