fbpx
AEDY ASHRAF

Aedy Ashraf bukan hanya pencinta wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENGGALAS pelbagai watak dengan cemerlang tanpa sekali pun dikritik ‘kayu’ meletakkan Aedy atau nama lengkapnya Mohammad Addy Ashraf Rosmadi sebagai antara pelakon generasi milenium yang hangat di mata khalayak.

Meneguhkan nama seiring hayat karier yang terbina sejak awal usia kanak-kanak lagi, lelaki tinggi lampai itu juga dilihat selesa menyembunyikan hal peribadi

Hakikat, Aedy seorang figura awam, tingkah laku dan gerak-gerinya sentiasa diperhati peminat yang ingin mengetahui perihal kehidupan, termasuklah si dia yang bertakhta di hati.

Selagi masih memegang status bujang, selagi itulah jejaka kelahiran Kelantan itu akan disuakan persoalan bertalu-talu berkaitan jodoh dan perkahwinan, tambahan secara terbuka mengakui intim bersama pelakon jelita, Amelia Henderson.

Mengulas lanjut hubungan mesranya bersama Amelia, pelakon drama Budak Tebing itu menzahirkan rasa syukur apabila hubungan mereka direstui peminat.

Bagaimanapun, dia tidak mahu terlalu memikirkan hala tuju perhubungan, sebaliknya menikmati perjalanan tersebut selain menyerahkan urusan jodoh kepada Allah.

“Saya sangat selesa dengan Amelia, saya bersyukur peminat mendoakan yang baik-baik untuk kami dan saya harap mereka akan terus doakan kami.

“Perancangan (kahwin) belum ada lagi, kami nikmati masa kami berdua. Kalau ada rezeki ada. Begitulah sebaliknya,” ujar Aedy dengan tenang.

Masih cuba untuk tidak terlalu berterus-terang, namun kesungguhan Aedy terhadap Amelia terlihat jelas apabila sanggup terbang ke Perancis baru-baru ini demi menemani cinta hatinya bertugas sebagai hos mewakili TikTok Malaysia pada Festival Filem Cannes. Semua itu membuktikan cinta mereka bukan sekadar mengisi masa lapang.

SEIRING populariti, keberadaan Aedy kini dihangatkan lagi dengan kisah cinta bersama Amelia Henderson.

Pencinta

Enggan terlalu larut dalam perihal kisah cinta yang sedang berbunga, pelakon berusia 30 tahun itu mengakui mempunyai impian untuk membawa watak dalam filem biopik bercerita tentang mana-mana tokoh hebat milik tanah air.

Tidak menyangkal kesukaran untuk membawa watak sedemikian, paling utama Aedy mahu mencabar diri, selain ingin lari dari zon selesa terutama watak pencinta wanita yang cukup sinonim dengannya.

“Saya idamkan watak biopik yang menuntut permainan watak seseorang yang benar-benar hidup (wujud).

“Harus diakui, watak sebegitu pasti agak susah untuk dibawakan.

“Jika sebelum ini, watak yang saya lakonkan lebih kepada fiksyen ciptaan pengarah, penulis skrip mahupun saya sendiri, jadi dia tiada salah atau betul.

“Jika mahu bawa watak tokoh, kita kena kaji betul-betul. Sebagai contoh, Farid Kamil yang membawakan watak Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini. Itu sangat mencabar dan cabaran itulah yang saya ingin rasa sebagai pelakon.

Jika diberi pilihan, Aedy memasang angan-angan melakonkan watak bekas Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau mesra disapa KJ.

“Saya teringin untuk bawa watak KJ, saya suka akan karisma yang ada pada KJ. Beliau mempunyai karakter yang sangat solid sebagai seorang lelaki.

“Walaupun ini hanyalah impian dan tidak mungkin akan terjadi, namun ini merupakan salah satu cita-cita saya.

“Saya rasa saya mahu cuba berlakon sebagai Khairy Jamaluddin,” luah Aedy dengan yakin.

AEDY teringin keluar dari zon selesa dan tidak hanya dikenali sebagai pencinta wanita.

Mahu jadi pengarah

Selain menyinar dalam arena seni lakonan, terdetik dalam hati jejaka tampan itu untuk bergelar seorang sutradara dan tampil dengan naskhah arahan sendiri suatu hari nanti.

“Saya akan kekal dalam industri mungkin sebagai pengarah dan tidak mustahil sebagai penerbit suatu hari nanti. Saya sekarang masih belajar dan berjinak-jinak ke arah itu.

“Insya-Allah, mungkin pada masa hadapan nanti saya akan arahkan satu filem, minta doakan saya.

“Tentang persiapan, saya sentiasa mempersiapkan diri malah sebelum ini juga saya pernah mengarahkan beberapa projek bersama rakan-rakan saya sebelum ini termasuk untuk jenama saya iaitu Challo Worldwide,” ulasnya.

AEDY dan Amelia kini terbuka tentang keintiman hubungan mereka namun belum memikirkan soal perkahwinan.

Persaingan

Menyedari kemunculan ramai pelakon lelaki baharu menghiasi arena seni lakonan ketika ini, Aedy melihat senario tersebut satu anjakan yang bagus buat industri seni, selain menjadi pelapis kepada pelakon yng sudah berusia.

Dalam masa sama, Aedy berasakan kehadiran pelakon baharu juga persaingan sihat buat dirinya dan pelakon senior agar tidak terlalu nyaman dibuai populariti.

“Industri kita sangat kecil dan perlukan ramai pelapis serta pelakon yang berbakat contohnya seperti Mierul Aiman, Merqeen dan lain-lain.

“Satu peringatan kepada saya dan pelakon lelaki lain supaya saya tidak terlalu selesa,” katanya.

Menyedari sudah beralih ke fasa lebih dewasa, dia juga melihat sesetengah watak itu lebih sesuai jika dijayakan oleh pelakon baharu yang lebih segar dan muda.

“Watak saya pun kini lebih ke arah dewasa, watak muda dan remaja itu biarlah mereka pula yang bawa.

“Lagipun mereka memang bagus, walaupun saya tidak berkesempatan lagi bekerja bersama mereka, saya dapat lihat mereka sangat komited dengan kerja mereka,” ujar pemenang Selebriti Lelaki Paling Seksi Anugerah Stail Eh! itu.

BERASAKAN diri semakin memasuki fasa matang, Aedil Ashraf kini lebih suka melihat watak-watak pelajar kolej atau sekolah dijayakan wajah-wajah baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN