fbpx

Perkenal sistem online dalam pilihan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PROSES pengundian bagi memilih wakil rakyat sama ada pada Pilihan Raya Umum (PRU) ataupun Pilihan Raya Negeri (PRN) dilihat perlu melalui transformasi baharu memandangkan konsep digital menjadi antara keutamaan pengundi ketika ini.

Dalam konteks ini, Malaysia perlu mengambil langkah proaktif dalam memberi nafas baharu kepada sistem pilihan raya, yang mana ia perlu dilaksanakan secara elektronik dan bukannya mengikut cara lama yang disifatkan sebagai ‘ketinggalan zaman’.

Jika diimbas, proses pengundian secara elektronik telah di­amalkan di beberapa negara sejak 20 tahun lalu, antaranya Austra­lia, Itali, Norway, Peru dan United Kingdom, sekali gus memberi terjemahan ia bukanlah satu sistem baharu.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, walaupun terdapat perbahasan mengenai keberkesanan proses mengundi elektronik, namun ia membawa banyak faedah apabila mampu memudahkan urusan pentadbiran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Pengundian secara online juga mampu mengurangkan kesilapan atau kerosakan yangberlaku pada kertas undi, selain boleh dilaksanakan di mana-mana lokasi pilihan pengundi.

“Pada masa sama, proses online itu juga mampu membantu golongan tertentu seperti orang kelainan upaya (OKU), pesakit kronik serta mereka terlibat bencana alam seperti banjir menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dengan mudah,” kata­nya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Pada masa sama, katanya, proses pengundian online turut membolehkan keputusan pilihan raya diketahui lebih tepat, selain proses pemeriksaan semula undi dapat dilakukan dengan cepat dan berkesan.

“Secara umumnya, terdapat dua jenis proses pengundian elektronik iaitu menggunakan me­sin elektronik yang ditempatkan di lokasi mengundi dan dikawal selia pegawai SPR, ataupun secara jarak jauh yang membenarkan rakyat mengundi dari mana-mana lokasi mengikut masa ditetapkan.

“Jadi, SPR dan kerajaan perlu melakukan kajian mendalam terhadap cadangan ini, selain boleh mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji proses pelaksanaannya,” jelasnya.

Selain ahli politik, jawatankuasa khas itu juga perlu dianggotai pakar teknologi serta individu memiliki kepakaran undang-undang dan perlembagaan.

Pelbagai jenis undang-undang berkaitan dengan proses pilihan raya perlu dilihat dan dipinda sekiranya Malaysia ingin melaksanakan cadangan proses mengundi secara elektronik.

Antara perlu diberi tumpuan termasuk Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957, Akta Pilihan Raya 1958 (Akta 19), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), Peraturan- Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

Katanya, Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam aspek digital berikutan dunia sudah bergerak maju dengan kewujudan pelbagai jenis kemudahan teknologi canggih.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI