fbpx

[VIDEO] Menteri Pelancongan nafi lepaskan pelancong asing di KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
King Sing.

PETALING JAYA – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mengakui terlibat dalam insiden kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas menerima aduan daripada pelancong asing.

Beliau mendakwa, kehadirannya itu telah membongkar peristiwa memalukan apabila wujudnya budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara.

“Selepas menerima aduan daripada pelancong, untuk memahami keadaan ketibaan pelancong asing ke Malaysia, ini pemantauan biasa bagi seorang menteri untuk turun padang.

“Saya bersyukur, kerana kehadiran saya telah membongkar budaya rasuah. Pada mulanya saya tidak mahu mendedahkan perkara ini kerana sedang bertindak mengikut saluran yang lebih praktikal. Namun disebabkan ia tular, maka ini penjelasannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, King Sing turut menafikan dakwaan bahawa kehadirannya adalah untuk melepaskan pelancong asing yang ditahan pihak imigresen.

“Saya tiada kuasa untuk itu, dan saya hanya merosakkan reputasi saya sendiri jika berbuat demikian. Saya masih waras dan tahu batas-batas sebagai seorang Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Apa guna saya sebagai menteri sekiranya saya tidak memberi tumpuan serius terhadap kepentingan negara, tambahan pula ia menjejaskan imej negara.

“Jika kita tidak serius dalam isu ini sekarang, sampai bila-bila pun ia tidak akan diselesaikan. Mungkinkah ada segelintir pegawai takut jika perkara ini terbongkar,” ujarnya.

Katanya, apa yang berlaku adalah pelancong terbabit telah ditahan tanpa sebab meskipun memiliki dokumen perjalanan yang lengkap.

“Masalah timbul apabila kedua-dua pihak, pegawai imigresen dan pelancong asing tersebut mempunyai masalah komunikasi.

“Dimaklumkan bahawa pelancong tersebut telah lengkap segala dokumentasi namun kegagalan komunikasi kedua pihak mengagalkan pihak Imigresen mendapatkan dokumen yang diperlukan,” jelasnya.

King Sing turut mendakwa, terdapat pegawai yang meminta wang sekiranya pelancong asing yang ditahan mahu dilepaskan.

“Ada yang minta sehingga RM3,000 untuk dikeluarkan daripada tahanan termasuk tiket penerbangan pulang ke negara asal.

“Tambahan RM3,000 pula diminta jika mahu pulang ke negara asal dengan kadar segera menerusi ‘laluan khas’, manakala RM12,000 untuk kos memproses visa,” katanya.

Tambahnya, kesemua maklumat itu akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencagahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan bagi memulihkan imej Malaysia terutama di pintu masuk negara.

“Dalam masa sama, saya akan bangkitkan perkara ini ke Kabinet termasuk cadangan memansuhkan ejen yang mengendalikan pelancong asing yang ditolak kemasukan (NTL – Not To Land) kerana dilihat semakin kronik,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI