fbpx

Penjual mi rugi RM231,792 ditipu bomoh temberang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.

KUCHING – Seorang penjual mi di Sibu hilang wang simpanan sebanyak RM231,792 selepas diperdaya tiga bomoh temberang, kononnya dia bakal mengalami nasib malang.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 65 tahun itu pada 27 Jun lalu selepas menyedari ditipu pada 24 Jun lalu.

Katanya menurut mangsa, pada 23 Jun lalu semasa berada di Pasar Sentral Sibu, dia telah didatangi tiga wanita yang tidak dikenali dengan salah seorang daripadanya dipercayai warganegara China dan dua orang lagi warga tempatan.

Menjelas lanjut, beliau berkata suspek mengatakan pandai menilik nasib dan memberitahu mangsa akan mengalami nasib malang serta kemalangan maut.

Mohd Azman berkata mangsa kemudian dibawa oleh suspek berjalan kaki ke Jalan Hardin Sri Menanti, Sibu dan suspek juga menyatakan mangsa perlu mengeluarkan wang untuk disembahyangkan bagi membuang nasib malang yang bakal menimpanya.

“Oleh kerana berasa takut dengan nasib yang bakal ditimpanya, mangsa telah mengeluarkan wang simpanan berjumlah RM231,792 melalui tiga transaksi dari dua akaun bank miliknya di dua buah institusi kewangan di bandar Sibu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.

Beliau menambah setelah mengeluarkan wang, mangsa kemudian diarahkan oleh suspek untuk memasukkan kesemua wang itu ke dalam satu beg berwarna biru.

Katanya mangsa turut diminta untuk bersembahyang dan menyerahkan beg itu kepada salah seorang suspek.

“Setelah selesai upacara sembahyang, mangsa diminta balik ke rumah dengan membawa beg berkenaan dan suspek memberitahu mangsa hanya boleh membuka beg itu selepas sebulan,” katanya.

Mohd Azman berkata mangsa hanya menyedari ditipu setelah membuka beg itu pada 24 Jun lalu dan mendapati kesemua wang miliknya tiada di dalam beg itu, dan segera tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI