fbpx
Nazwa Hanim menyemak ayat al-Quran pada bingkai bagi memastikan penjual mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Hafalan kesan kesalahan teks al-Quran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang penyemak al-Quran tidak dapat melupakan pengalaman mene­rima aduan berkaitan kesalahan cetakan membabitkan kehila­ngan huruf pada satu teks ayat al-Quran di sebuah sekolah.

Nazwa Hanim Abu Bakar, 39, yang juga Ketua Unit Regulatori Al-Quran dan Hadith, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri sejak 2018 berkata, selepas diperiksa, pihaknya mendapati terdapat 80 naskhah al-Quran yang turut mempunyai kesalahan sama.

“Asbab seorang murid membaca al-Quran dan mendapati ada kelainan kerana ayat yang se­ring dibaca sepatutnya berbunyi lain. Jadi apabila dirujuk kepada ustazah, baru perkara ini terbongkar.

“Dalam erti kata lain, menghafal al-Quran itu bonus. Jika hari-hari kita baca dan terbiasa hafal ayat-ayat lazim, kita sendiri boleh kesan jika terdapat ke­salahan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, dalam banyak keadaan, pihaknya menggunakan pendekatan berhemah de­ngan memberi nasihat kepada penjual atau pemilik premis sebelum tindakan lebih tegas diambil.

“Namun, jika kita datang semula dan barangan masih ada, baru tindakan rampasan dilakukan. Jika perlu, kes akan dibawa ke mahkamah terutama melibatkan penjualan bahan al-Quran tanpa kelulusan, tiada lesen me­sin cetak al-Quran atau pelanggaran syarat,” ujarnya.

Bagi kesalahan ayat pada cetakan teks atau bahan teks ­al-Quran, tindakan boleh dikenakan di bawah Seksyen 14(1) Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan menjual ­al-Quran tanpa kelulusan dan tidak mematuhi syarat ditetapkan, ia tertakluk di bawah Seksyen 6-9 Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986.

Mengenai latar belakang pendidikan, ibu dua anak itu berkata, minat terhadap hafazan mula berkembang ketika melanjutkan pengajian walaupun menuntut dalam pengajian syariah.

“Saya mula menghafal secara lebih serius ketika belajar di pe­ringkat ­diploma kerana pensyarah mewajibkan hafalan surah al-Baqarah dan beberapa surah lain yang merupakan syarat wajib untuk graduasi.

“Dari situ, kita mula membina kekuatan untuk mengesan ke­salahan dalam teks,” katanya.

Beliau mengakui cabaran lain adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat sebelum menghasilkan kandungan di TikTok sejak 2021 bagi mendidik orang ramai secara lebih dekat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN