fbpx

DUN bubar, Kerajaan P. Pinang berfungsi sebagai ‘caretaker’ esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kon Yeow pada sidang akhbar sempena pembubaran DUN Pulau Pinang di Komtar, hari ini. Foto oleh IQBAL HAMDAN / KOSMO!

GEORGE TOWN – Pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang akan berfungsi sebagai kerajaan sementara atau ‘caretaker government’ bermula esok selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dibubarkan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga telah menerima taklimat daripada Bahagian DUN berhubung peranan kerajaan sementara itu.

“Esok Ketua Menteri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri akan memulakan satu tanggungjawab sebagai kerajaan caretaker.

“Kami masih boleh menggunakan apa yang perlu untuk menjalankan tugas, petugas di pejabat Exco masih berfungsi, namun tugas petugas di pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terhenti selaras dengan pembubaran DUN,” katanya dalam sidang akhbar sempena pembubaran DUN Pulau Pinang di sini petang ini.

DUN Pulau Pinang secara rasmi akan dibubarkan esok bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) dijalankan dalam tempoh terdekat.

Menurut Kon Yeow, memandangkan kerajaan negeri Pulau Pinang masih berfungsi sebagai kerajaan caretaker, Ketua Menteri dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri masih boleh meneruskan kerja-kerja pentadbiran sehingga kerajaan baharu terbentuk.

“Bagi penggunaan kereta rasmi pula, penggunaannya akan terhenti sehari sebelum hari penamaan calon, pada hari itu, penggunaan kereta rasmi akan terhenti dan ia akan dibawa oleh pemandu kami ke depoh. Jadi tidak timbul masalah (penggunaan kereta rasmi) kerana kempen belum bermula secara rasmi dan kita masih dalam keadaan transisi,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai tempoh yang paling sesuai untuk PRN diadakan, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berkata, beliau berpendapat bahawa minggu pertama dan kedua Ogos adalah tempoh paling sesuai untuk mengadakan PRN di enam negeri.

“Kita tahu tempoh PRN perlu diadakan adalah tidak lebih 60 hari, kerana ada negeri telah membubar DUN mereka sejak 22 Jun.

“Kalau mahu diselaras PRN tempohnya tidak boleh lebih dari 21 Ogos, jadi jangka masa minggu pertama dan kedua adalah sesuai untuk mengadakan PRN,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI